AWIE. FOTO Arkib NSTP
AWIE. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi, pelakon dan penerbit, Datuk Awie, 53, gembira dan bersyukur apabila filem pertama terbitannya 10 Tips Tipu Bini kini sudah memperoleh kutipan RM1 juta.

Filem terbitan syarikatnya, Rumah Produksi Merah mula ditayangkan menerusi saluran Astro First sejak 7 Januari lalu.

"Saya amat bersyukur apabila filem ini dapat cecah kutipan RM1 juta dalam keadaan sekarang. Ia membakar semangat untuk kami teruskan lagi dengan projek seterusnya.

"Jika diberi peluang kita nak buat yang lagi terbaik. Terima kasih banyak-banyak kepada barisan pelakon dan semua yang menjayakan filem ini. Terima kasih juga kepada pengarahnya, Azizi 'Chunk' Adnan dan Rumah Produksi Merah kerana kerjasama ini," katanya kepada Harian Metro.

Awie turut mengucapkan terima kasih kepada media kerana memberikan promosi dan ulasan yang baik terhadap filem ini.

"Segala usaha ini berbaloi dengan apa yang saya dapat. Yang pastinya selepas ini saya akan tampil dengan filem kedua berjudul Sue-On, Hantu Korea Sesat Di Taiping akan ditayangkan.

"Saya sedang menunggu tayangannya di Astro First. Moga dapat sambutan yang baik apabila ditayangkan nanti," katanya.

Menurutnya, 10 Tips Tipu Bini masih ditayangkan di Astro First dan dia mendoakan agar filem ini terus ditonton.

"Saya harapkan ada penambahan kutipan. Mana tahu ada rezeki yang bagus. Insya-Allah," katanya.

Filem genre komedi hasil skrip tulisan Armada AI Haq ini menampilkan pelakon Khir Rahman, Ropie, Joey Daud, Elizabeth Tan, Jehan Miskin, Vicha, Nasir Bilal Khan dan Awie sendiri.

Sehingga kini rekod box office di Astro First dipegang filem Mael Totey The Movie dengan kutipan sebanyak RM6.4 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 6:18 PM