Datuk Khairul Anwar Salleh
Datuk Khairul Anwar Salleh
Oleh Georgie Joseph


Petaling Jaya: Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad dan syarikat-syarikat penerbitan yang bekerjasama dengannya memanfaatkan Program Dana Kandungan Digital Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (PDKD Finas) dilaksanakan tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, beberapa program baharu mengikut kategori yang disenaraikan Finas sudah pun ditayangkan di ntv7 dan TV9 bagi menyokong produk syarikat terbabit.

"Tahun lalu, Finas memperuntukkan dana berjumlah RM13.9 juta bagi mengurangkan impak Covid-19 kepada syarikat-syarikat penerbitan tempatan. Program-program yang boleh mendapatkan bantuan itu merangkumi enam kategori terpilih.

"Ia termasuk drama bersiri, majalah, bual bicara, hiburan/sukan, telefilem dan dokumentari. Selain daripada tiga program yang sudah ditayangkan, kami merancang untuk menerbitkan beberapa lagi program lain yang mendapat bantuan PDKD Finas akan datang," katanya.

Tiga program yang sudah ditayangkan itu ialah Kail X dalam kategori Majalah. Program ini bersiaran di saluran ntv7 bermula 5 Januari, setiap Selasa, jam 9 malam. Program 13 episod menampilkan Roob Ganesan dan Zul Huzaimi itu memfokuskan mengenai hobi memancing.

Untuk kategori hiburan, program Yo Lah Tu akan bersiaran setiap Jumaat bermula esok jam 8.30 malam sebanyak 13 episod.

Menampilkan selebriti seperti Janna Nick, Atu Zero, Nookhiriah dan Jiggy Masin, program terbabit mengupas pelbagai isu dalam bentuk drama.

Program ketiga ialah Ejen Agrotek daripada kategori dokumentari. Mula bersiaran 6 Februari, program dihoskan Issey Fazlisham itu akan menemui penonton setiap Sabtu, jam 7.30 malam. Ia memfokuskan kepada usahawan pertanian muda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 6:36 PM