LIA Natalia. FOTO IG lia_natalia
LIA Natalia. FOTO IG lia_natalia
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Selepas hampir 70 peratus persiapan perkahwinan sudah disiapkan, pelakon Lia Natalia terpaksa menerima hakikat perkahwinannya dengan jejaka yang dikenali hampir setahun lalu yang sepatutnya berlangsung Disember lalu dibatalkan.

Lia berkata, dia enggan mendedahkan punca perpisahan dengan jejaka terbabit kerana perkara itu akan membuka aibnya.

"Ada masalah yang saya tidak boleh terima. Itu sahaja yang boleh saya kongsikan. Saya tidak mahu meletakkan kesalahan kepada satu pihak sahaja. Apa sebenarnya yang berlaku, biarlah antara kami sahaja yang tahu," katanya. 

Lia berkata, dia terkilan kerana segala persiapan sudah hampir siap sepenuhnya termasuk penggambaran pra-perkahwinan yang dijalankan September lalu.

"Ia termasuk tempahan lokasi, hantaran, tiket penerbangan dan sebagainya. Namun akhirnya tak jadi kahwin. Saya reda dengan ujian ini dan menganggap apa yang berlaku  tiada jodoh di antara kami," katanya. 

Lia berkata, dia bersyukur ahli keluarga yang menetap di Sabah tidak putus memberikan sokongan dan semangat dengan masalah yang berlaku. 

"Saya sedih sangat sebab memang dah bersedia nak kahwin, tapi Tuhan yang menentukan segalanya. Keluarga saya reda dan faham dengan situasi yang berlaku antara kami. Awalnya mereka memang teruja apabila dapat tahu saya mahu tamatkan zaman bujang memandangkan saya anak bongsu. 

"Ibu juga minta saya bersabar kerana dia tahu anaknya memang serius untuk berkahwin. Segala yang berlaku saya kena terima, mungkin ada hikmahnya juga. 

"Cuma buat masa sekarang saya tidak mahu untuk kenangkan apa yang berlaku. Lebih baik untuk saya fokus dalam lakonan sahaja. Soal cinta tolak tepi dulu. Pengalaman lalu banyak memberi pengajaran dan saya bersyukur kerana teman-teman rapat pun ada di sisi memberikan kekuatan," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Lia kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Diva Popular arahan Erma Fatima yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 9:44 PM