MICHAEL Ang dan Noraniza Idris sudah berdamai.
MICHAEL Ang dan Noraniza Idris sudah berdamai.
Georgie Joseph


Putrajaya: Konflik antara penyanyi, Noraniza Idris, dan pengarah Michael Ang akhirnya terlerai apabila keduanya kembali berdamai dalam satu pertemuan diatur pada Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020), semalam.

Menurut Noraniza, dia memang berhajat untuk bertemu Michael untuk mengenalinya secara peribadi disebabkan tidak pernah rapat sebelum ini.

"Saya ingin memohon maaf secara bersemuka dengan Michael atas apa yang berlaku antara kami. Ternyata, dia adalah seorang yang sangat baik meskipun ramai nampak dia lantang bersuara.

"Saya juga sudah menegur peminat untuk menjaga tutur kata dalam berbicara mengenai apa yang berlaku. Saya tidak mahu mereka mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur rasis," katanya.

Bagi Michael pula, dia memaklumkan dirinya tiada masalah pun hendak bersemuka dengan penyanyi Dikir Puteri itu

"Mungkin kenyataan saya agak kasar seolah-olah bersifat peribadi terhadapnya sebelum ini. Apa yang saya luahkan di Twitter adalah jujur daripada sudut peminat program realiti dan bukannya sebagai rakan industri.

"Jujur, saya tiada masalah dengan Noraniza. Cumanya, saya terkesan apabila ada komen yang sampai menyentuh mengenai niat saya masuk Islam disebabkan mahu perhatian, itu saya marah.

"Saya tidak akan berhenti untuk kongsi pendapat jujur mengenai industri selepas ini. Orang pun sudah tahu bukan bagaimana mulut saya ini," katanya.

Terdahulu, isu pertelingkahan antara mereka tercetus apabila Michael menulis kritikan pedas mengenai persembahan Noraniza di Gegar Vaganza 7 (GV7). Sekali gus, ia menimbulkan kemarahan Noraniza, keluarga dan peminatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 12:33 PM