ZURA meminati nyanyian kerana mewarisi bakat ayahnya.
ZURA meminati nyanyian kerana mewarisi bakat ayahnya.
Ridzuan Abdul Rahman

PERJUANGAN serta kesungguhan penyanyi dikenali Zura Shamsir menghiburkan peminat dalam bidang nyanyian tidak pernah padam.

Diam tak diam, bekas anggota kumpulan The Girls bersama Farisha, Ita dan Hanim di bawah kendalian komposer Nasir Ahmad Nawab itu, hingga kini sudah muncul dengan menghasilkan tujuh lagu.

Zura, 41, atau nama sebenarnya Sharzura Shamsiralan pernah tampil dengan lagu berjudul Lumrah Cinta pada 2013, Kau Bukan Siapa-Siapa (2014), Demimu Aku (2015), lagu raya Lebaran Ya Lebaran (2016) dan lagu loghat Kelantan, Kelateku Bahagio pada 2017.

Zura yang juga dikenali sebagai Nik, pernah menghasilkan lagu raya secara kolaborasi dengan artis-artis era 1990-an.

Terbaharu, dia kini muncul dengan lagu solo ketujuhnya berjudul Cinta Tiada Restu yang dianggapnya sebagai karya lagu cukup istimewa.

"Sebenarnya lagu ini dah lama disimpan oleh penciptanya Awin dan DJ Nakkal sehinggalah mereka bertemu saya yang dirasakan sesuai untuk menyanyikannya.

"Mereka melihat lenggok nyanyian saya amat kena dengan lagu ini. Manakala, saya pula apabila dengar melodi dan meneliti liriknya buat kali pertama, dah jatuh hati.

"Ikutkan saya ada banyak koleksi lagu yang diberikan oleh ramai pencipta lagu, tetapi disebabkan rasa kurang sesuai saya menolak," katanya.

Zura yang pernah menyanyi bersama Angkatan Seni dan Kebudayaan Kelab Yayasan Negeri Sembilan pada 1998, berhasrat untuk menghasilkan album penuh selepas ini.

"Saya memang berhasrat nak mengabadikan 10 lagu dalam satu album suatu masa nanti untuk dijadikan kenangan diri sendiri dan juga peminat.

"Saya dah berkorban selama hampir 10 tahun semata-mata untuk menyiapkan tujuh lagu ini. Bermacam-macam onak duri dan ranjau saya tempuh dan sedikit pun tak pernah dihiraukan.

"Apa yang saya hasilkan berpandu minat mendalam dalam bidang nyanyian sejak kecil lagi. Ia bukan boleh dibuat main atau bukan sekadar untuk mengejar glamor semata-mata, tapi itulah jiwa saya," katanya.

Bukan sekadar berkorban masa dan tenaga, bahkan Zura juga melaburkan modal sendiri yang besar sejak dahulu dan ia sesuatu yang amat dibanggakan olehnya.

"Ini adalah untuk saya jadikan sejarah paling berharga sepanjang kehidupan saya bergelar anak seni. Alhamdulillah, selain menyanyi saya juga boleh mencipta lagu dan menulis lirik sendiri.

"Tak ketinggalan saya juga aktif berlakon dan antara drama lakonan saya adalah berjudul Dirgahayu, Setitis Air Mata Ibu, Air Mata Syurga dan telefilem Aku Ingin Ke Syurga," katanya.

Zura ternyata tidak duduk diam apabila kini dalam proses menghasilkan lagu kelapan pula yang berjudul Sampaikan Rindu.

"Lagu ini dijangka siap pada hujung tahun ini atau awal tahun depan mungkin dapat dilancarkan. Semoga semua lagu saya mendapat sambutan dan diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat bukan hanya untuk masa ini tapi buat selamanya.

"Satu permintaan saya, kenangilah hasil dan kerjaya saya walau sudah tiada lagi di dunia ini nanti. Terima kasih buat semua rakan dan juga peminat setia yang dari dulu tak jemu menyokong usaha saya dalam memartabatkan bidang seni," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zura yang kini menetap di Pantai Timur berasa lebih tenang berniaga dan gembira menumpukan masanya untuk keluarga serta rakan niaga.

"Saya banyak mewarisi ibu yang dulunya suka berniaga. Walaupun ligat berniaga, saya masih menerima undangan menyanyi di acara seperti majlis dan keraian jika diminta membuat persembahan.

"Saya berniaga sejak 2009 lagi kerana tahu nyanyian dan bidang seni tidak boleh dijadikan sumber pendapatan utama untuk mendapatkan kehidupan yang selesa.

"Itulah sebabnya, saya sediakan payung sebelum hujan. Tapi nyanyian adalah darah daging saya dan tak boleh ditinggalkan kerana sangat mecintainya," kata Zura turut mempunyai produk kecantikan di bawah syarikatnya, Suitera Beauty Solution.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 6:20 AM