NIEZAM bersama Nonny dan ibunya. FOTO ihsan IG
NIEZAM bersama Nonny dan ibunya. FOTO ihsan IG
Sudirman Mohd Tahir


"ALHAMDULILLAH, pertemuan dengan ibu dan keluarga Nonny berjalan lancar. Insya-Allah, doakan semoga dipermudahkan," kata pelakon, Niezam Zaidi, 28, yang mengotakan janji untuk berjumpa ibu kekasihnya yang juga penyanyi, Nonny Nadirah di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

Niezam berkata, pertemuan secara rasmi kali pertama itu dibuat sebagai menghormati dan menunjukkan kesungguhannya dalam menjalin hubungan dengan Nonny.

Menurut Niezam, dia merancang untuk terus bernikah selepas selesai terbabit dalam penggambaran drama Luka Di Hati Diya.

"Dalam pertemuan itu, saya pun sudah berbincang dengan keluarga Nonny. Insya-Allah kalau tak ada aral melintang dan akan dipermudahkan semuanya.

"Perancangan saya memang nak terus nikah. Sekarang ini tunggu saya habis 'shooting' saja. Tapi, sambil-sambil itu ada juga perbincangan dan perancangan macam mana nak buat dan majlis nak buat di mana.

"Kiranya tinggal lagi perbincangan membabitkan kedua belah keluarga saja lagi," katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi mengenai pertemuan itu, Niezam yang juga pelakon filem M4M4 berkata, ibu Nonny menitipkan pesan untuk sentiasa menjaga diri masing-masing.

"Alhamdulillah, penerimaan mereka sangat okay. Sebenarnya itu paling santai sebab perbincangan pun santai saja.

"Ibu dia ada pesan, jaga diri masing-masing. Insya-Allah semoga dipermudahkan," katanya.

Ditanya sekiranya pada pertemuan itu Niezam turut membawa cincin tanda atau cincin merisik, Niezam menjawab tidak.

"Tak ada bawa cincin tanda pun," katanya ringkas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 7:23 PM