Projector Band. FOTO Zunnur Al Shafiq
Projector Band. FOTO Zunnur Al Shafiq
Sudirman Mohd Tahir


PEMUZIK Indonesia, Harlin Pasili Ansori mendakwa lagu Aisyah nyanyian Projector Band diciplak dari lagu asal ciptaannya iaitu Half Night Trip to Bait Al Hamid.

Harlin dalam status dimuat naik pada 24 April lalu berkata, lagu itu dilancarkan pada 2010 dan dimuat naik di saluran YouTube pada 2011.

Malah, Harlin juga sudah meminta pihak YouTube memadam lagu Aisyah nyanyian Projector Band termasuk projek versi nyanyian semula seperti Aisyah Istri Rasulullah nyanyian Sabyan dan Mr. Bie.

Status dimuat naik Harlin
Status dimuat naik Harlin

Pemain gitar Projector Band yang juga komposer lagu Aisyah, Razif Zainuddin ketika dihubungi menafikan dakwaan itu.

"Saya dapat tahu perkara ini daripada syarikat rakaman yang memaklumkan terdapat individu dari Indonesia yang 'claim' lagu Aisyah adalah miliknya.

"Apabila saya mendengar pautan muzik yang diberikan, satu pun tidak ada persamaan. Lagu yang didakwa lagu asal itu hanya melodi saja tdiak ada penyanyi. Tapi, tidak kedengaran langsung bunyi dan melodi lagu Aisyah.

"Apabila dia mengatakan itu lagu ciptaannya, saya pening dan macam mana pihak YouTube boleh padam versi nyanyian semula Aisyah Istri Rasulullah," katanya kepada Harian Metro.

Razif atau dikenali sebagai Angah menganggap apa yang berlaku adalah perbuatan busuk hati.

"Kali pertama Lagu Aisyah dikeluarkan pada 2014 dan dilancarkan secara rasmi pada 2017. Ia memang asli daripada saya.

"Cuma, saya tidak menjangka ia kembali trending dan tular selepas versi nyanyian semula dalam lirik Islamik.

"Bagi saya ini kes busuk hati. Jadi, tidak mustahil apabila sesuatu yang tular ramai mahu 'claim'.

"Apa pun, saya menyerahkan perkara ini kepada syarikat rakaman. Malah saya dimaklumkan, mereka sedang berurusan dengan peguam di sana bagi menyelesaikan perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 1:54 PM