Syafil Syazwan Jefri


USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga pelawak, Ali Puteh dan bersedia untuk bertemu dengan pelawak itu serta ibunya.

Aliff ketika ditemui berkata, dia juga tidak mahu memanjangkan isu kemelut dalaman keluarga Allahyarham Abam Bocey membabitkan Ali Puteh dan balu Abam, Siti Nurhidayah Mohd Ali.

"Di sini, saya ingin memohon maaf kepada Ali Puteh dan Hidayah. Saya tak mahu memanjangkan lagi isu ini dan saya nak berdamai. Saya tidak ada niat untuk melagakan sesiapa.

"Sekiranya Ali ingin berjumpa dengan saya, saya bersedia bukan saja untuk bersua muka dengan Ali, tetapi juga ibunya," katanya kepada Harian Metro.

Aliff menegaskan, video pertemuan dengan Hidayah yang disiarkan secara langsung di Facebok dan Instagram serta dimuat naik di YouTube adalah berdasarkan persetujuan ibu tunggal beranak seorang itu.

ALIFF Syukri (kanan) pada sidang media untuk menerangkan tentang kontroversi yang melanda dirinya. FOTO Supian Ahmad
ALIFF Syukri (kanan) pada sidang media untuk menerangkan tentang kontroversi yang melanda dirinya. FOTO Supian Ahmad

"Selepas isu ini timbul, saya hubungi Hidayah dan bertanya, sama ada dia mahu saya padam video yang dimuat naik atau tidak. Tapi, dia bersetuju video itu tidak dipadam.

"Untuk pengetahuan, apa yang disiarkan di YouTube itu hanyalah 10 peratus saja daripada video keseluruhan yang berdurasi hampir tiga jam. Namun, biarlah bahagian selebihnya saya simpan sendiri kerana tak mahu panjangkan lagi perkara ini," katanya.

Terdahulu, Aliff melawat balu anggota kumpulan Bocey itu yang kini menetap di kediaman keluarganya di Sabak Bernam, Selangor.

Perkongsian Hidayah mengenai keadaannya kini termasuk mendakwa mendapat kekangan daripada keluarga Abam terutama dalam soal kewangan menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai kemelut yang berlaku dalam keluarga itu.

Ali kemudiannya memuat naik beberapa status berbaur emosi sebelum mengadakan sidang media bagi menceritakan lebih lanjut perkara sebenar yang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 6:31 PM