OGY bersama pengarah teater Khir Rahman. FOTO Rohanis Shukri
OGY bersama pengarah teater Khir Rahman. FOTO Rohanis Shukri
Ridzuan Abdul Rahman


PEMERGIAN Abam Bocey Isnin lalu ternyata mengejutkan seluruh produksi teater Korupsi Dewan Semandung.

Kesedihan mereka sukar digambarkan. Apatah lagi, Abam yang juga pelakon teater itu turut hadir pada sidang media yang berlangsung pada 29 Januari lalu.

Bagaimanapun yang pergi takkan kembali dan mereka yang tinggal perlu reda dengan pemergian Abam.

Menyedari hakikat inilah, Fauziah Ahmad Daud selaku penerbit dan Khir Rahman sebagai pengarah segera bangkit melaksanakan perancangan yang sudah disusun sebelum ini.

Latihan terus dijalankan bermula kelmarin untuk teater yang akan dipentaskan selama tiga hari bermula 28 Februari ini.

Bagaimanapun, Abam tetap dikenang sebagai sebahagian daripada pelakon teater ini apabila Fauziah atau Ogy mengadakan majlis tahlil buatnya sekali gus menjadikan suasana bilik latihan di Istana Budaya hening seketika.

Tidak terkecuali, pada majlis yang sama, Ogy dan Khir turut mengumumkan kekosongan yang ditinggalkan Abam akan diisi oleh pelawak Man dari kumpulan Puteh.

“Saya mempunyai pandangan di mana mengapa dan kenapa watak ini tak perlu digantikan. Tetapi saya tak boleh pinggirkan pengarah saya dan penulis skrip teater ini.

“Wataknya memang penting dalam cerita ini. Untuk mencari pelakon yang boleh menggantikan tempat Abam memang sukar. Dia mempunyai kualiti tersendiri. Namun selepas perbincangan, kami buat keputusan mencari pengganti Abam,” katanya.

MAJLIS tahlil produksi teater Korupsi Dewan Semandung sempena pemergian Abam Bocey baru-baru ini. FOTO Rohanis Shukri
MAJLIS tahlil produksi teater Korupsi Dewan Semandung sempena pemergian Abam Bocey baru-baru ini. FOTO Rohanis Shukri

Menurut Khir, mereka awalnya mempunyai tiga nama dan selepas proses perbincangan, Man menjadi pilihan.

“Man ada ciri-ciri yang kami kehendaki. Jalan cerita masih kekal tapi kena buat sikit perubahan dalam skrip agar lebih sesuai dalam sudut permainan Man.

“Saya lihat Man mempunyai perubahan dalam kariernya. Bermula daripada Raja Lawak dan muncul juara, persembahannya terus meningkat sehingga muncul juara bersama Puteh pada Maharaja Lawak Mega 2019,” katanya.

Menurutnya, memandangkan masa untuk pementasan terlalu suntuk, dia mencadangkan kepada Ogy untuk memperkenalkan konsep ‘play device’ di mana membabitkan semua pelakon.

“Kami ada sekumpulan pemain, tapi lakonan mereka bukan spontan kerana skrip disediakan. Konsep

inilah sebenarnya yang buat Abam nak sangat berlakon teater ini.

“Sepatutnya latihan pertama dibuat Isnin lalu, tapi ditangguhkan akibat kematian Abam,” katanya.

Khir berkata, konsep ‘play device’ yang dirancang mencetuskan idea untuk watak berbangsa Cina yang dibawa Douglas Lim.

Sementara itu, Ogy pula mengakui dihujani cadangan pelbagai pihak supaya mengambil Ali, adik Abam bagi menggantikan tempat abangnya.

“Perkara ini tak dapat dilakukan kerana kami ada kriteria sendiri dalam memilih pelakon,” katanya.

Pelakon lain yang bakal membintangi teater komedi seram terbitan Ogy Ventures & Network Sdn Bhd itu nanti ialah pelawak Vicha, Tauke, Mark Adam, Joey Daud, Azrul Chemat, Tapai dan Chiwan serta pelakon baharu, Hanna Halim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 6:46 AM