AFDLIN (kiri) sasar kutipan RM400,000 untuk bantu mangsa perang Syria dan Palestin. FOTO/AFDLIN SHAUKI
AFDLIN (kiri) sasar kutipan RM400,000 untuk bantu mangsa perang Syria dan Palestin. FOTO/AFDLIN SHAUKI
Syafil Syazwan Jefri


DATUK Afdlin Shauki menerusi Yayasan Afdlin Shauki kini giat mengutip sumbangan dana untuk membantu mangsa perang di Syria dan Palestin menjelang musim sejuk ini.

Afdlin berkata, pihaknya mensasarkan jumlah kutipan kira-kira RM400,000 dan dia bersama kumpulannya akan ke sempadan Turki dan Syria untuk menyalurkan bantuan pada 9 hingga 16 Januari ini.

“Kemungkinan besar, tempoh bantuan akan diteruskan beberapa hari lagi selepas tarikh itu kerana kami akan ke sempadan Jordan dan Syria pula untuk salurkan bantuan seterusnya," katanya.

Menurut Afdlin, bantuan paling utama adalah untuk memberikan alat pemanas.

"Mereka kebanyakannya tinggal di dalam khemah. Bayangkan, ada antara mereka adalah warga emas dan juga bayi.

"Jadi, kami akan berikan bantuan alat pemanas serta bahan api untuk pastikan mereka dapat teruskan kehidupan dalam musim sejuk. Selain itu, kami akan berikan bantuan selimut serta makanan kerana sumber makanan sangat sukar didapati di zon perang," katanya.

Afdlin berkata, pihaknya akan membeli barang keperluan di negara itu untuk membantu ekonomi mereka.

"Ada yang nak berikan sumbangan baju sejuk. Namun, saya tak galakkan kerana untuk membawa banyak barang ke sana juga perlukan kos.

"Jadi, kami akan beli barang yang diperlukan di sana. Secara tak langsung, kita dapat bantu mereka untuk menjana ekonomi," katanya.

Selain Afdlin, seorang lagi selebriti yang akan terbabit sama adalah Dira Abu Zahar.

Sumbangan dana boleh disalurkan ke akaun Maybank Yayasan Afdlin Shauki bernombor 564810516713.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 5:07 PM