Afdlin melihat sendiri penderitaan Rohingya. FOTO AZIAH AZMEE
Afdlin melihat sendiri penderitaan Rohingya. FOTO AZIAH AZMEE
Syafil Syazwan Jefri


YAYASAN Afdlin Shauki dengan kerjasama Yayasan Kubra dan Into Taqwa kini sedang mengumpul dana berjumlah RM300,000 bagi misi bantuan pelarian Rohingya di Bangladesh.

Pengasasnya, Datuk Afdlin Shauki berkata, pihaknya terpanggil untuk menyalurkan bantuan selepas dia sendiri membuat lawatan pertama ke negara itu pada November lalu.

“November lalu, saya ke Bangladesh untuk melihat sendiri kehidupan pelarian Rohingya yang lari ke sana. Memang amat menyedihkan dan kerana itulah saya rasa, sesuatu perlu dilakukan,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah Afdlin, dana terkumpul itu akan digunakan untuk membiayai pembinaan beberapa kemudahan di kem pelarian itu.

“Di sana, kemudahan seperti tandas wanita tidak ada. Kalau ada pun, terlalu sikit dan banyak kekurangan. Jadi, antara yang akan dibina adalah tandas wanita.

“Selain itu, dana itu juga akan digunakan untuk membina surau. Bukan saja akan menjadi tempat untuk beribadah, surau itu juga akan digunakan sebagai tempat untuk kanak-kanak belajar ilmu agama,” katanya.

Afdlin memberitahu, dia akan membawa beberapa anggota sukarelawan termasuk beberapa artis untuk turut serta ke Bangladesh pada 17 hingga 21 Mac ini.

“Buat masa sekarang, saya belum boleh beritahu jumlah sebenar anggota yang akan bersama-sama saya ke Bangladesh untuk misi ini.

“Yang pasti, kita akan bawa seramai yang mungkin untuk membantu. Artis-artis yang akan terlibat adalah seperti Datuk Zainal Abidin, Datuk AC Mizal, Adibah Noor dan Mizz Nina,” katanya.

Selain pembinaan kemudahan, pihaknya bersama dua organisasi bukan kerajaan itu juga akan membantu dari sudut bekalan makanan serta perubatan.

“Ramai pelarian yang meninggal dunia kerana kekurangan ubat-ubatan dan bantuan perubatan.

“Saya sendiri melihat adalah wanita yang sedang tenat dan menunggu masa meninggal dunia di pangkuan anaknya dan itu membuatkan saya bertindak untuk membantu,” katanya.

Afdlin memohon kepada masyarakat dan rakan-rakan artis lain, sekiranya mereka ingin turut serta memberikan bantuan, boleh berhubung dengan Yayasan Afdlin Shauki.

“Kalau kita tidak mampu untuk menyalurkan bantuan kewangan, sekurang-kurangnya, kita bantu mereka dengan mendoakan kesejahteraan mereka,” katanya.

Sebagai persiapan, Afdlin juga kini dalam perancangan untuk mengadakan konsert amal bagi mengutip dana itu.

“Insya-Allah, menerusi konsert amal yang disertai artis-artis yang akan terlibat dalam misi ini, sedikit sebanyak akan membantu untuk mengumpul dana,” katanya.

Yayasan Afdlin Shauki adalah yayasan yang diasaskannya sejak dua tahun lalu dan banyak membantu beberapa misi kemanusiaan.

Antara misi yang pernah dilakukan oleh yayasan ini adalah membantu pelarian Rohingya pada tahun lalu, misi bantuan banjir di Pulau Pinang, misi bantuan di Lubnan dan Syria, serta bantuan menerusi program Super Spontan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 8:56 PM