Rita Rudaini (kiri).
Rita Rudaini (kiri).
Sudirman Mohd Tahir


TERLAJAK perahu boleh diundur, terlajak kata menyesal pun sudah tidak berguna. Malah, pepatah kerana mulut badan binasa sesuai buat pengguna laman sosial yang sengaja mencipta masalah.

Dua lelaki yang diheret pelakon Rita Rudaini untuk bersemuka dan memohon maaf secara terbuka pada Rabu lalu menjadi pengajaran terbesar buat mereka.

Gara-gara komen keterlaluan dengan memfitnah status kedua-dua anak lelaki Rita, seorang daripada mereka dilapor ke pihak berkuasa.

Warganet yang sentiasa berasakan diri mereka ‘tuhan’ di alam maya, sila buka mata dan ambil iktibar kesan perbuatan tidak bertanggungjawab anda. Berani buat, berani tanggung dan bersemuka.

Bukan hanya menjadi pejuang papan kekunci dan berselindung di sebalik nama. Ketika dikehendaki muncul, terus hilang entah ke mana. Akaun media sosial lesap sekelip mata.

Hilang ke mana? Menyorok di bawah meja? Menangis hingga keluar darah? Semua itu hanya sia-sia. Apabila akaun anda dilapor, dengan mudahnya pihak berkuasa mengesan anda.

Jangan fikir negara kita tidak ada undang-undang hingga anda boleh sesuka hati memfitnah orang lain. Malah, jangan anggap artis boneka dan berdiam diri sambil tersenyum dengan sikap kurang ajar anda.

Jika dahulu, mungkin ya tetapi sekarang kesedaran artis kian tinggi. Mereka tidak mahu lagi ditindas dan terus diperlakukan sewenang-wenangnya tangan-tangan durjana bertopengkan manusia.

Apatah lagi, selepas melihat tindakan Rita dan beberapa rakan artis seperti Jasmin Hamid dan Misha, selebriti lain sudah mula buka mata dan mahu menggunakan pendekatan sama. Hak perlu dibela bukan dimalukan begitu saja.

Anggap saja tindakan artis itu pembuka jalan buat semua penggiat seni yang sering menjadi mangsa fitnah. Mereka perlu bangkit membersihkan nama. Jangan beri mereka ruang untuk terus memijak kepala kalian.

Sebaik-baiknya, golongan artis perlu sepakat untuk memerangi kejahatan dengan dibantu persatuan yang ada. Baru perkara ini akan lebih besar impaknya bukan saja buat artis itu tetapi juga atas nama kerjaya.

Sampai bila sikap keterlaluan netizen perlu dibiar begitu saja? Tidak mustahil hari ini minta maaf dan mengaku bersalah, esok buat lagi perkara sama. Percayalah, perkara ini tidak akan habis begitu saja.

Bagi yang terkena mungkin ini pengajaran buat mereka tetapi yang lain berasakan mereka masih bebas dan boleh terus memfitnah. Tidak mengapa, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Disebabkan itu, kemudahan laman sosial yang ada sepatutnya dimanfaat dan digunakan sebaik mungkin. Bukan tujuan untuk memaki, mencaci atau menghina. Bermula dengan satu individu, ia akan berangkai tanpa ada penghujung.

Semakin asyik mereka cerita, itu yang timbulnya fitnah. Bagaikan tidak ada hati dan perasaan ketika menulis hingga sanggup mempertikaikan perkara sebenar. Lagaknya seperti mereka hidup bersama dan tahu segala-galanya.

Ketika mereka sanggup mengaibkan mangsa, mereka berasa gah. Namun, apabila mereka diminta tampil memohon maaf terbuka, tahu pula malu. Sebelum buat tidak fikir. Apabila sudah kena, padan muka.

Fitnah jangan dibuat main kerana kesannya besar buat mangsa. Ingatlah, setiap tulisan anda akan kekal sampai bila-bila. Bayangkan kalau perkara sama terjadi kepada anda, apa anda akan rasa?

Anda seronok ‘memfitnah’, orang lain merana. Fikirkanlah. Silalah berubah menjadi manusia berguna kerana kita diberikan akal sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 5:05 AM