IZZUE akui jadual makin padat walau dilihat kurang popular. FOTO: Aziah Azmee
IZZUE akui jadual makin padat walau dilihat kurang popular. FOTO: Aziah Azmee
Syanty Octavia Amry


SENTIASA bersyukur dengan rezeki yang diterima dalam bidang seni, pelakon dan penyanyi, Izzue Islam akui jadual kerjayanya sentiasa padat meskipun kini bergerak solo.

Bagi Izzue, 29, apa pun rezeki yang datang dia menerima saja selagi masih diperlukan.

“Alhamdulillah, rezeki sentiasa murah dan jadual seni boleh dikatakan padat. Tidak hanya dalam lakonan, undangan nyanyian juga masih saya terima.

“Mungkin ada yang melihat saya kurang popular tetapi ia bukan masalah kerana tawaran berlakon masih ada.

“Saya baru selesai berlakon dua telefilem iaitu Dosa Semalam untuk tayangan TV3 dan Misteri Akil Baligh selain terbabit dengan program Muzikal Lawak Superstar,” katanya.

Berkongsi pembabitannya dalam dunia komedi, Izzue bersyukur ramai yang menerima kehadirannya meskipun dirinya bukanlah seorang pelawak.

“Dalam muzikal Lawak Superstar saya mengacara bagi platform digital bermula jam 8.15 malam.

“Ogos nanti saya akan terbabit dengan sitkom Kafe Pop Yeh Yeh pula,” katanya.

Dalam pada itu, berkongsi karier nyanyian, Izzue berkata, sejak bergerak solo dia lebih selesa tampil dengan lagu rancak.

“Insya-Allah jika tiada halangan saya akan tampil dengan single baharu pada hujung tahun ini.

“Saya masih mengekalkan konsep rancak yang dirasakan lebih sesuai dengan vokal saya,” katanya.

Sementara itu, Izzue yang bakal tampil dengan konsert Hora Horey Live! Didi & Friends pada Ogos depan akui teruja untuk bertemu peminat cilik.

“Selama ini hanya tahu peminat saya terdiri daripada pelajar dan mereka yang dewasa.

“Apabila pernah terbabit dalam drama Oh My English! barulah saya sedar rupa-rupanya ramai juga peminat dalam kalangan kanak-kanak.

“Diharap pada hari konsert itu nanti saya dapat beramah mesra dan bertemu dengan lebih ramai lagi peminat cilik,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 5:00 AM