SHIMA (bertudung hitam di tengah ) bergambar bersama rakan artis yang melakukan kunjungan mengejut ke Warung Teringin di awal pembukaannya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SHIMA (bertudung hitam di tengah ) bergambar bersama rakan artis yang melakukan kunjungan mengejut ke Warung Teringin di awal pembukaannya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI Shima, mengakui masih menjalani rawatan berterusan untuk mengubati penyakit misteri yang mengganggunya.

Shima, 50, atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman berkata, dia akan bercuti berniaga sepanjang Ramadan dan terus menjalani rawatan untuk pulih daripada masalah itu.

"Alhamdulillah kesihatan saya bertambah baik berbanding ketika mula-mula terkena penyakit misteri ini.

"Bagaimanapun saya belum boleh berniaga kerana rawatan susulan perlu dilakukan bagi memastikan penyakit misteri ini pulih sepenuhnya," katanya kepada Harian Metro.

Shima yang popular dengan lagu Teringin sebelum ini menjadi mangsa dengki segelintir pihak yang tidak senang hati dengan kemajuan perniagaan makanan yang diusahakannya.

Ia berikutan Warung Teringin miliknya di tapak berhampiran kediamannya di Pangsapuri Lestari, Damansara Damai, tular dalam kalangan penduduk dan menjadi tumpuan ramai.

Sejak tular berita Shima berniaga mulai 3 Disember lalu, dia mendakwa pelbagai perkara aneh berlaku terhadapnya seperti mengalami sakit belakang yang agak serius menyebabkan terpaksa menutup warung buat sementara waktu selain tulang bengkak dan terpaksa makan ubat.

Selain itu, beberapa kucing peliharaannya juga sakit dan mati secara mengejut.

Shima berkata, keputusan diambilnya membuatkan dia hilang mata pencarian selama sebulan dan mengharapkan supaya ada pihak menawarkan peluang menyanyi untuk mencari wang.

"Saya harap rawatan yang dibuat nanti berkesan kerana mahu kembali berniaga selepas Aidilfitri.

"Untuk raya, saya tak buat apa-apa persediaan sangat. Tapi setakat nak balik kampung beraya dengan emak itu bolehlah.

"Saya berharap sangat sekiranya ada pihak sudi menawarkan peluang menyanyi di mana-mana majlis berbuka puasa untuk saya cari wang," katanya.

Dia meminta supaya tiada mana-mana pihak menganiaya dirinya selepas ini kerana niatnya berniaga hanya untuk mencari rezeki buat menyara hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 4:22 PM