SITI Nurhaliza bersama Epie Temerloh pada pelancaran Epie X Siti by SimplySiti semalam. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
SITI Nurhaliza bersama Epie Temerloh pada pelancaran Epie X Siti by SimplySiti semalam. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Syanty Octavia Amry


MAHU yang terbaik untuk anaknya, penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza akan mewariskan perniagaan miliknya kepada Siti Aafiyah Khalid apabila puteri kesayangan itu meningkat dewasa.

Siti yang memiliki perniagaan kosmetik SimplySiti berkata, walaupun baru berusia setahun, hatinya berasakan Aafiyah mempunyai potensi menceburi bidang perniagaan.

Apatah lagi, dia melihat Aafiyah sudah menunjukkan minat terhadap alat solek dan suka melihat ibunya berdandan.

"Walaupun masih kecil, saya lihat perkembangannya dan dia sudah menunjukkan rasa teruja setiap kali saya bermekap. Malah dia sendiri suka apabila dimekapkan.

“Seandainya dia menunjukkan minat yang mendalam terhadap perniagaan kosmetik pastinya SimplySiti akan saya warisi kepada Aafiyah satu hari nanti,” katanya.

Siti ditemui pada majlis pelancaran Epie X Siti by SimplySiti di Kuala Lumpur semalam berkata, dia dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa juga mahu melihat Aafiyah menceburi bidang perniagaan apabila dewasa nanti.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai produk Epie X Siti Pro Series, Siti berkata, ia adalah kolaborasi kedua SimplySiti dan jurusolek profesional, Epie Temerloh selepas Nurul Shukor.

Katanya, pemilihan Epie berikutan dia sudah lama menjadi jurusoleknya selain tahu cita rasa dan imej yang dimahukan oleh Siti.

“Kami mengambil masa agak lama dalam pemilihan warna kerana mahu memberikan yang terbaik kepada pengguna.

“Melalui kepakaran dimiliki oleh SimplySiti dan Epie, Epie X Siti Pro Series ini menawarkan produk lengkap untuk pengguna yang mahukan solekan bertaraf profesional.

"Lengkap dalam satu paket seperti pembayang mata dan pemerah pipi, pengguna boleh menggunakan warna yang ada untuk waktu siang dan juga malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 3:55 PM