FADZIL kecewa dengan sikap segelintir pelakon baru. FOTO Aziah Azmee
FADZIL kecewa dengan sikap segelintir pelakon baru. FOTO Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri


PENERBIT Fadzil Teh menerusi akaun Instagram miliknya meluahkan rasa terkilan apabila ada segelintir artis meletakkan harga bayaran tidak masuk akal.

Menurut Fazdil yang juga Pengarah Urusan Zeel Production Sdn Bhd, artis perlu memahami situasi yang dihadapi syarikat produksi apabila bayaran yang diberikan stesen TV juga tidak banyak.

“Saya ada berbual dengan beberapa individu dari stesen TV. Mereka berkata, ada pengurus artis yang meletakkan harga tidak masuk akal sehingga RM5,000 untuk satu episod.

“Kalau ikutkan, artis yang meletakkan harga tinggi itu bukanlah pelakon senior. Bagi saya, permintaan mereka melampau,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya lagi, sekiranya stesen TV membayar syarikat produksi dengan bayaran tinggi, itu tidak menjadi masalah.

“Ada juga stesen TV yang bayar mahal jadi tak ada masalah jika artis letak harga tinggi.

“Sekiranya drama ‘meletup’, belum tentu syarikat produksi akan dapat tawaran lain tetapi artis sudah pasti akan dapat lebih banyak tawaran.

“Jadi, kalau boleh kenalah ada toleransi,” katanya.

STATUS yang dimuat naik FADZIL. FOTO Instagram
STATUS yang dimuat naik FADZIL. FOTO Instagram

Tambah Fadzil yang lebih mesra disapa sebagai Haji Zil, dia kagum dengan beberapa pelakon senior berbakat besar yang tidak menaikkan harga sesuka hati.

“Ada artis baru apabila popular sesuka hati menaikkan harga seperti bursa saham. Saya pernah bekerja dengan ramai nama besar tetapi tidak pula mereka bersikap sedemikian.

“Antaranya Fasha Sandha. Dia sangat berdisiplin, berbakat besar, sangat komited dan selalu mempromosikan drama lakonannya.

“Namun, harga bayarannya tidaklah setinggi yang diletakkan pelakon baru,” katanya.

Selain Fasha, Fadzil turut memuji sikap pelakon lain seperti Fahrin Ahmad, Rita Rudaini dan ramai lagi.

Status yang dimuat naik Fadzlil mendapat reaksi artis popular tanah air yang sependapat dengannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 7:02 PM