MAC (kiri) dan Azie. FOTO NSTP
MAC (kiri) dan Azie. FOTO NSTP
Amirul Haswendy Ashari


KIRA-KIRA 23 tahun lalu, penyanyi Mac Ruhayu dan Azie Mustapha pernah dikatakan bergaduh sehingga menyebabkan ramai peminat beranggapan ia berlaku kerana rasa cemburu.

Selepas sekian lama dua penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu akhirnya menjawab segala persoalan yang pernah bermain di minda peminat mereka.

Menjayakan sesi fotografi di Balai Berita minggu lalu, mereka menafikan pernah bermasam muka ketika zaman kegemilangan dahulu.

Azie berkata ketika itu dia terlalu muda dan hanya mengikut kehendak pengurusan.

“Saya difahamkan cerita mengenai pergaduhan kami disiarkan dalam sebuah akhbar di Sarawak pada 90-an.

“Kalau betul sekali- pun, saya tidak melatah ketika itu kerana memang tidak tidak pernah ada dendam dengan Mac,” katanya.

Penyanyi mula dikenali melalui lagu Pelamin Anganku Musnah itu juga enggan mengungkit lagi kisah lalu kerana masing-masing membawa haluan selepas isu berlaku.

Namun begitu dia terkejut Mac menghubunginya Januari lalu untuk menyertai Himpunan Artis 90-an yang berlangsung di Johor Bahru pada 27 April lalu.

“Saya terima dengan hati terbuka pelawaan itu, malah kami langsung tidak membangkitkan dakwaan pergaduhan dulu kerana perkara sudah lepas.

“Jujur saya katakan, saya tidak tahu bagaimana isu itu boleh timbul dan siapa yang bawa mulut.

“Selagi ia tidak mengganggu kehidupan peribadi, saya lebih suka ambil langkah berdiam diri kerana tidak mahu memanjangkan cerita,” katanya.

Mac pula berkata ketika isu pergaduhan antara mereka dibangkitkan 23 tahun lalu, dia sedang mengikuti rombongan artis Malaysia membuat persembahan di Vietnam.

“Sebaik sahaja pulang ke tanah air baru saya tahu ada pihak cuba melaga-lagakan kami.

“Padahal saya dan Azie, walaupun berasal dari Kuching dan terbabit dalam dunia nyanyian, kami tidak pernah bertemu,” katanya.

Apatah lagi mereka berada di bawah syarikat pengurusan berbeza pada lewat 90-an dan peluang bertemu dalam satu pentas memang agak sukar.

Mac akui ramai tidak tahu mereka berdua bersekolah di sekolah sama cuma berbeza

umur dan kelas.

Katanya, Azie ialah ‘junior’ di sekolah dan mempunyai peribadi yang baik serta tidak pernah mengganggu sesiapa pun.

Begitu juga sikap Mac ketika di zaman sekolah kerana selepas habis waktu persekolahan dia sibuk membantu keluarga menjalani perniagaan kilang roti di Kuching.

Penyanyi yang popular dengan lagu Ditakdirkan Kita Bersama itu berkata perkara yang lepas biarlah berlalu.

Dia mendakwa mungkin isu pergaduhan antara mereka adalah sebahagian daripada teknik pemasaran syarikat rakaman.

Perkembangan terbaru, Azie dan Mac berkolaborasi bersama beberapa penyanyi 90-an antaranya Haslinda, Adilla, Norlie Tamam dan Azura Aziz menghasilkan album kompilasi 6 Suara Artis 90-an yang bakal dilancarkan pada hujung September depan.

Album ini bakal memuatkan single terbaru masing-masing dan bakal diterbitkan Radical Records.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 3:30 AM