BARISAN Artis 90-an bergambar kenangan selepas acara.
BARISAN Artis 90-an bergambar kenangan selepas acara.
HASNOL menyampaikan bungkusan makanan kepada wakil keluarga asnaf.
HASNOL menyampaikan bungkusan makanan kepada wakil keluarga asnaf.
Amirul Haswendy Ashari


Mahu menjejak kembali rakan artis 1990-an mendorong tercetusnya program Jejak Santai Artis 90-an yang bermula di Johor Bahru pada 28 dan 29 April lalu.

Presiden Kelab Artis 90-an Tushee Aris berkata, idea itu tercetus dalam pertemuan pertama artis generasi berkenaan di Restoran Ramziela pada 10 Februari lalu.

“Maklum balas daripada rakan artis 1990-an amat memberangsangkan. Objektif kami untuk menjejaki rakan artis 1990-an yang sudah lama menghilang dan ada yang terus tenggelam,” katanya.

Tushee berkata, penyatuan ini mendapat persetujuan bersama kerana hubungan sesama artis era itu tidak pernah padam.

Dalam pada itu, pengasas Kelab Artis 90-an, Mac Ruhayu berkata, walaupun idea dibangkitkan awal tahun ini, perancangan mengadakan program santai menggabungkan rakan seangkatan sudah berada di fikirannya lebih lima tahun lalu.

“Saya sudah lama mengimpikan aktiviti seperti ini. Bukan wang atau pangkat yang dicari, sebaliknya untuk kepuasan diri.

“Wang boleh dicari tetapi kepuasan yang diraih tatkala melihat wajah rakan seangkatan serta peminat tersenyum dan terhibur, itu jauh lebih bermakna buat saya,” katanya.

Dalam program selama dua hari itu, 16 artis era 1990-an antaranya Azie Mustapha, Hasnol, Erin Res2, Norlie Tamam, Haslinda, Haida Hajat, Tatty Ismail, Amy Grand, Adilla Idris dan Wan Scoin tampil melakukan pelbagai aktiviti.

Antaranya, melawat penyanyi Aida Agil yang kini dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) di kediaman adiknya di Taman Daya, Johor Bahru.

Aida yang pernah popular dengan lagu Segalanya Pasti menerima sumbangan berupa wang tunai dan hamper makanan sumbangan bersama rakan artis yang hadir.

Sementara itu, Haslinda yang popular dengan lagu Sehati Sejiwa berkata, pengalaman menarik yang diperoleh dapat mengeratkan hubungan sesama mereka.

“Paling tidak dapat saya lupakan apabila dapat melawat Kak Aida selain melakukan aktiviti kemasyarakatan di rumah warga emas.

“Ada rakan artis seperti Azie yang sanggup datang dari Kuching semata-mata mahu bersama kami,” katanya.

Dalam program itu, mereka turut melawat Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan Kempas dan dua keluarga asnaf menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan hamper makanan.

Mereka turut menghiburkan peminat serta masyarakat setempat melalui aktiviti senamrobik, tarian poco poco, karaoke dan busking di sekitar Johor Bahru.

Dalam perkembangan lain, mereka merancang meneruskan program berkenaan ke pantai timur untuk menziarah beberapa rakan artis yang menetap di sana antaranya Ani Suraya.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti mereka, peminat boleh melayari Facebook Penyanyi dan Band Artis 90an Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 3:18 AM