ROY guna peluang sebaik mungkin kembang kerjaya sebagai penyanyi.
ROY guna peluang sebaik mungkin kembang kerjaya sebagai penyanyi.
Ardini Sophia Sina


Penyanyi rap Indonesia, Roy Ricardo tidak pernah mengendahkan kata-kata negatif daripada kalangan pembenci. Walaupun masih membina nama di negara kelahirannya, Roy tidak pernah berputus asa.

Selagi ada ruang untuk mengembangkan kerjaya, jejaka berusia 29 tahun itu akan menggunakan peluang sebaik-baiknya. Pernah menjadi penyampai radio, Roy bagaimanapun merasakan jiwanya lebih cenderung dengan dunia nyanyian.

Bernaung di bawah Warner Music Indonesia, Roy mula mendapat perhatian selepas tampil dengan single Semalem Bobo Di Mana. Jejaka itu mendedahkan mula meminati hip hop sejak berada di sekolah menengah.

“Saya bercadang mahu mencuba nasib sebagai penyanyi, tetapi ibu bapa mahu saya habis belajar terlebih dahulu.

“Mereka kurang setuju kalau saya menyanyi. Oleh itu, saya habiskan dulu sekolah menengah dan kemudian selesaikan pengajian di universiti. Selepas itu, baru saya dapat kebenaran untuk menceburi bidang yang saya minati,” katanya.

Selain Semalem Bobo Di Mana, Roy turut menghasilkan lagu Lau Baper, Party In The Sky, Panjat Sosial dan Viral. Idea menulis lagu berkenaan semuanya datang daripada kejadian di sekelilingnya.

Bagi Roy, muzik adalah perkara pertama dan pulangan daripada kariernya itu jatuh nombor dua.

Menurutnya, untuk maju dalam bidang nyanyian terutama genre yang diperjuangkan, harus ada sasaran dan strategi.

“Apa yang saya buat ini adalah kerana minat dan jiwa. Soal wang adalah perkara kedua. Walaupun pulangannya tidak seperti penyanyi lain, saya okay. Tidak mengapa.

“Sebelum memperjuangkan genre muzik sebenar yang ingin saya bawa, perkara pertama yang harus dilakukan adalah membina dan mengukuhkan nama.

Barulah peminat terus mengikuti aliran muzik saya,” katanya.

Meminati penyanyi Chris Brown serta Dr Dre, Roy berharap namanya tidak hanya dikenali di Indonesia, tetapi juga di Malaysia dan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 8:12 AM