SENTIASA jadikan karya P Ramlee sebagai inspirasi.
SENTIASA jadikan karya P Ramlee sebagai inspirasi.
Georgie Joseph


SELEPAS kembali mencipta nama menyertai program Gegar Vaganza 7 (GV7) pada 2020, penyanyi Oja menghadiahkan lagu baharu berjudul Aku Tak Sempurna yang cukup besar maknanya dalam karier muziknya.

Oja atau nama sebenarnya Daninas Huza Daud, 44, menyifatkan lagu berkenaan adalah karya agung pernah dihasilkan sepanjang berada dalam industri muzik. Melodi dan susunan muzik adalah hasil kerja tangannya sendiri.

Lebih istimewa, ia membabitkan empat pemuzik yang terdiri daripada rakan terdekat kumpulan Humanoid iaitu Haziq Ramli, Hailme Iswa, Aman Radzi. Muziknya yang berkonsepkan balada rock itu katanya, lebih mudah diminati semua golongan baik yang muda hingga veteran.

"Lagu Aku Tak Sempurna dicipta pada awal 2021 selepas kira-kira sebulan saya tamat menyertai program GV7. Awalnya penulis lirik lagu Dasira, Mohtar Said memberi ilham supaya ia ditujukan khas buat peminat lama atau baharu saya.

"Ia sebagai tanda meluahkan rasa terima kasih atas sokongan daripada mereka semua. Kemudian saya mengolah liriknya lebih luas untuk dijadikan pada umum. Bukan hanya untuk peminat," katanya.

Oja berkata, mesej lagu itu diperluas menjadi luahan penghargaan kepada orang tersayang juga.

Menurutnya, dia mahukan lagu itu lebih berbentuk kemasyarakatan selain menjadikan Allahyarham Tan Sri P Ramlee sebagai inspirasi.

"Saya masih ada orang sekeliling iaitu ibu ayah, isteri, anak-anak, adik-beradik, saudara-mara, sahabat handai dan jiran tetangga yang masih menyokong perjuangan serta kerjaya saya.

OJA ambil masa dua tahun sempurnakan Aku Tak Sempurna.
OJA ambil masa dua tahun sempurnakan Aku Tak Sempurna.

"Lirik lagunya jadi lebih meluas dan membawa pelbagai maksud selepas ditulis semula sepenuhnya kerana ia lebih dekat dengan masyarakat. Saya juga jadikan karya P Ramlee inspirasi kerana kisah penulisannya seolah-olah berada di sekeliling kita semua," katanya.

Yang pasti, Oja berhabisan belanja dan tenaga sendiri mahu pastikan penghasilan Aku Tak Sempurna menjadi.

Baginya, dia tidak kisah mengeluarkan wang saku sendiri demi merealisasikan semua aspek yang dirancang untuk lagu itu.

Mengakui ada juga kekangan, bagaimanapun dia yakin jalannya akan dipermudahkan. Buat masa ini juga, dia masih dalam proses menghasilkan muzik video (MV) lagu terbabit, namun sedia ambil alternatif lain jika terdesak.

"Keseluruhan bajet projek single ini adalah daripada poket saya sendiri. MV rasminya masih dalam perancangan walaupun jalan cerita atau sudah pun dibincangkan bersama pasukan.

"Oleh kerana perbelanjaan yang tidak mencukupi, saya dan pengurusan hanya rancang mengeluarkan lirik video, tapi masih mempunyai 'story line' yang agak kuat. Jika bajet masih tidak mencukupi, saya tetap akan mengeluarkan video itu," katanya.

Dalam pada itu, Oja juga teruja apabila maklum balas daripada penonton dan pendengar kesemuanya positif. Ramai yang mengatakan cerita dalam lagu itu adalah sama dengan cerita kehidupan mereka.

"Penghasilan keseluruhan lagu ini mengambil masa dua tahun atas sebab kesibukan saya di studio rakaman sendiri. Saya enggan menghasilkan sebuah 'masterpiece' dengan tergopoh-gapah.

"Saya juga berharap lagu ini dapat sokongan daripada semua pihak termasuk media kerana dikatakan zaman ini sangat susah untuk memperdengarkan walaupun hanya sebuah lagu," katanya.

Oja turut menekankan objektif lagu Aku Tak Sempurna pula adalah untuk menghargai pasangan dan orang sekeliling yang sentiasa ada dalam susah senang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 6:16 AM