HAIDA Hafiz.
HAIDA Hafiz.
Sudirman Mohd Tahir

Tidak pernah terlintas untuk menceburi dunia lakonan, peluang diberikan untuk menjayakan telefilem Tergantung Rindu dimanfaatkan sebaik-baiknya penyanyi Haida Hafiz.

Haida atau Noor Haida Mohd Idris, 37, berkata dia mengambil masa seminggu untuk mempertimbangkan tawaran itu kerana tidak pernah berlakon sebelum ini.

“Ini adalah percubaan sulung saya. Sebelum ini tidak pernah terfikir pun akan berlakon. Sejujurnya, saya tidak menjangka rezeki. Rasa seakan-akan bermimpi.

“Kerana itu saya ambil masa untuk berfikir. Saya tidak mahu terburu-buru buat keputusan kerana berlakon bukan perkara mudah dan ia berbeza dengan menyanyi.

“Selepas menyatakan persetujuan, saya pasang niat untuk buat sehabis baik dan anggap ini cabaran baru. Saya tidak boleh berpatah arang,” katanya.

Menurut Haida yang juga bekas peserta program Gegar Vaganza musim keempat (GV4), meski melakonkan watak ibu dia berasakan tanggungjawab itu berat.

“Saya ‘tabik’ pelakon yang boleh bertahan di lokasi dalam tempoh panjang. Ini pengalaman baru saya dan tidak rasa serik.

“Sebagai pelakon baru, watak ibu sangat berat. Apatah lagi watak ini memerlukan saya banyak bermain emosi. Saya tidak sempat menghadiri kelas lakonan dan hanya buat berdasarkan pengalaman sebagai ibu.

“Babak menangis pula saya membayangkan perkara sedih yang pernah berlaku pada saya dan anak. Selain itu, saya juga memikirkan ayah,” katanya.

Pun begitu, Haida mengakui masih banyak perkara perlu dipelajari terutama penjiwaan watak.

“Ketika dapat tawaran ini, saya merancang untuk berguru dengan Raja Azura. Saya terus teringatkan dia tetapi tidak sempat sebab skrip dapat satu hari sebelum penggambaran.

“Syukur, pengarah dan kru banyak membantu saya di lokasi panggambaran. Banyak perkara baru saya dapat belajar. Nampaknya, berlakon memberikan kepuasan berbeza,” katanya.

Pada masa sama, Haida menegaskan pembabitannya dalam bidang lakonan bukan kerana tidak mendapat undangan menyanyi selepas tamat GV4.

“Menyanyi masih menjadi keutamaan saya. Alhamdulillah, tawaran menjayakan persembahan tidak putus. Cuma, saya terima tawaran berlakon kerana ingin mencuba. Tidak timbul isu saya tidak ada tawaran menyanyi,” katanya.

Sudah lama berkahwin kali kedua

Teka-teki mengenai status Haida terjawab apabila dia mendedahkan sudah berkahwin dengan jejaja pilihan yang dikenali sebagai Mr R. Dia meminta maaf kerana tidak dapat mendedahkan butiran perkahwinannya.

“Sebelum ini, seandainya rakan bertanya mengenai kehadiran lelaki yang selalu ikut saya walau ke mana juga, saya selesa untuk tidak berkongsi.

“Malah ketika menyertai GV4 pun saya tidak bercakap perkara ini. Kalau boleh biarlah kerjaya saya diperkatakan daripada hal peribadi. Lagipun ketika itu saya mahu fokus bertanding. Saya berterima kasih kepada rakan media yang faham.

“Saya selalu cakap, sampai masa saya akan beritahu. Sekarang masa sesuai untuk bercakap mengenai perkara ini. Sebenarnya, saya dan suami sudah lama berkahwin. Bila dan di mana, biarlah ia kekal menjadi rahsia. Tidak ramai tahu kecuali keluarga saja,” katanya.

Haida yang popular menerusi lagu Zapin Usik Mengusik bersama kumpulan Senario berkata, dia tidak kesah tanggapan orang sekeliling mengenai perkahwinannya.

“Tidak ada sebab nak berahsia sangat, cuma prinsip saya tidak mahu terlalu bercerita hal peribadi. Lagipun, sebelum ini saya tidak aktif menyanyi.

“Apabila menyertai GV4, orang mengenali saya semula. Kebetulan ternampak pula ada seseorang di sisi saya. Jadi, ia menimbulkan tanda tanya.

“Apapun tanggapan orang, biarlah. Saya anggap ia seperti angin lalu. Cukup saya beritahu sudah berkahwin,” katanya.

Haida pernah berkahwin dengan bekas penerbit rancangan televisyen, Aminudin Yahya pada 2004 dan bercerai tujuh tahun selepas itu. Menerusi perkahwinan itu, Haida dikurniakan anak lelaki, Muhammad Al Hafiz Aminuddin yang kini berusia 13 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 4:08 AM