Rita bersama anak, Airit Rayyan (kiri) dan Arjuna. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Rita bersama anak, Airit Rayyan (kiri) dan Arjuna. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON popular Rita Rudaini akui anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, 9, meluahkan rasa teruja apabila tercalon Top 20 kategori Si Cilik MeleTop pada Anugerah MeleTop ERA 2018 (AME2018).

Rita, 42, berkata sejak dimaklumkan perkara itu Rayyan tidak berhenti bertanya selain berasa gementar untuk menghadiri acara sidang media AME2018, baru-baru ini.

“Pada mulanya saya terkejut dimaklumkan perkara ini. Lagi pula, ini kali pertama anak saya tercalon acara anugerah.

“Saya okey saja dan tidak ada masalah. Tambahan pula, syarat bagi kategori ini adalah anak artis itu perlu ada akaun Instagram. Kebetulan, dua anak saya memiliki IG yang diwujudkan tahun lalu.

“Apabila saya beritahu namanya tercalon, Rayyan suka dan tidak berhenti bertanya. Malah, ketika nak menghadiri acara sidang media, Rayyan beritahu dia gementar dan tidak tahu nak cakap apa jika ada wartawan bertanya soalan. Rasa kelakar melihat gelagatnya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Rita, pencalonan itu bagaimanapun bukan tiket untuk anaknya terbabit dalam bidang seni.

Sebaliknya, Rita mahu dua anaknya itu fokus kepada pelajaran sebelum membuat pilihan perkara diminati apabila dewasa.

“Rayyan selalu cakap nak berlakon. Malah, kalau ada penerbit atau pengarah bertanya kepadanya, dia menyatakan berminat.

“Cuma, buat masa sekarang saya tidak mahu memberi pendedahan kepadanya. Kalau saya bagi sekali, nanti dia akan suka dan bimbang berterusan. Apa jadi kepada pelajaran dan persekolahannya?

“Kalau boleh, saya nak mereka berjaya dalam pelajaran dahulu. Saya sudah lalui kehidupan sebagai anak seni. Jadi, saya tidak mahu anak merasai pengalaman sama. Apabila sudah besar, terpulang pilihan masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 3:33 PM