Cik Pang

Baru-baru ini, pengarah dan penerbit popular Ahmad Idham meluahkan rasa kecewanya kerana banyak pusat bertauliah kemahiran termasuk akademi kendaliannya, Akademi Kemahiran Aifa terkesan dengan ketiadaan kuota yang dijanjikan untuk pelajar.

Melalui laman Twitternya, dia tertanya-tanya apakah masalah dihadapi Tabung Kemahiran (Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK)), apatah lagi ia sudah berlarutan sejak tahun lalu.

Cik Pang ada juga terbaca luahan sedih dan kecewanya itu. Antara dipersoalnya, adakah situasi itu berlaku kerana impak skandal RM40 juta dalam Tabung Kemahiran yang pernah dilaporkan media tempatan sebelum ini?

Tatkala membaca luahannya itu, Cik Pang percaya dia sebenarnya kasihan dengan pelajar terutama remaja yang sedang mengikuti pendidikan di pusat bertauliah kemahiran kerana peluang itu seolah-olah ditutup disebabkan skandal itu.

Sebagai pemilik akademi dan pada masa sama mempunyai pelajar di bawahnya, dia hanya memohon pihak terbabit agar mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Jika tidak ditangani segera yang menjadi mangsa sudah pasti pelajar yang mahu menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran dan pusat bertauliah pula bakal gulung tikar.

Cik Pang tidak nafikan mungkin perkongsian ini tidaklah berkaitan hiburan tetapi disebabkan ia berkait rapat dengan masa depan segelintir pelajar yang mengambil jurusan perfileman, ia tidak patut diketepikan.

Harapan Cik Pang semoga pihak kementerian dapat melihat perkara ini dengan teliti.

Janganlah abaikan masa depan pelajar yang berhasrat menceburi dan memajukan industri filem tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 3:24 AM