EIZLAN
EIZLAN
Syafil Syazwan Jefri


Setiap manusia tentunya mempunyai naluri dan kehendak untuk hidup berpasangan. Ada sudah bertemu jodoh dan ada juga masih mencari pasangan.

Pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof, 46, mendedahkan bersedia untuk kembali mendirikan rumah tangga dua tahun lagi selepas bergelar duda sejak 2015.

“Kerap juga saya disoal mengenai jodoh dan ada gosip mengatakan sedang diulit cinta dengan wanita muda. Semua itu hanya gosip.

“Saya meletakkan sasaran untuk kembali berumah tangga pada usia 48 tahun. Jadi dalam tempoh dua tahun ini, saya ada masa untuk mengenali wanita yang akan bergelar isteri dan ibu kepada anak saya,” katanya.

Diminta mengulas mengenai gosip sebelum ini yang mengatakan dia sudah bertemu keluarga wanita yang juga pelajar universiti, Eizlan menafikannya.

“Seperti saya katakan, itu hanyalah gosip. Saya tidak mahu membuka cerita mengenai hal yang belum pasti. Tapi, apabila semuanya sudah muktamad, saya akan kongsikan dengan semua,” katanya.

Apa yang pasti, Eizlan kini sudah terbuka hati untuk menerima wanita lain sebagai suri hidupnya.

“Ya, sebelum ini saya memang sibukkan diri dengan penggambaran dan perniagaan. Sekarang, sudah tiba masanya untuk saya membuka hati dan menerima cinta baru.

“Kalau ada, saya tidak akan menunggu lama untuk berkahwin kerana lagi lama bercinta, lagi banyak dugaan yang akan datang,” katanya.

Ditanya mengenai kriterianya dalam memilih bakal isteri, Eizlan menyerahkannya kepada takdir.

“Allah yang tahu bagaimana wanita terbaik untuk saya. Paling penting, wanita itu dapat terima saya seadanya,” katanya.

Kata Eizlan, ada kesukaran buatnya untuk memulakan langkah dalam berkenalan dengan orang baru.

“Saya sebenarnya kurang yakin memulakan langkah. Kadang-kadang, ada wanita yang saya suka tapi takut untuk luahkan dan akhirnya terlepas ke tangan orang lain. Banyak benda yang saya fikirkan memandangkan perkahwinan banyak bergantung kepada kerjasama dua pihak,” katanya.

Eizlan sebelum ini berkahwin dengan Vie Santi dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Vie Zaara, 9, Zareef Yusof, 7 dan Vie Zaalia, 4.

Terbaru, Eizlan kini menjalani penggambaran drama bersiri 100 episod berjudul Dendam Aurora.

“Ia sedang ditayangkan di kaca TV dan pada masa sama kami masih menjalani penggambaran drama ini.

“Memang ada beberapa projek tetapi tidaklah terlalu banyak memandangkan kebanyakannya sudah diselesaikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 11:38 AM