PEMENTASAN begitu rapi dan memukau.
PEMENTASAN begitu rapi dan memukau.
Georgie Joseph


Walaupun baru hadir dalam industri seni sejak 2015, kumpulan dari Korea Selatan iaitu SEVENTEEN barangkali tidak dipandang tinggi sebagaimana kumpulan EXO misalnya.

Bagaimanapun, kumpulan dianggotai Wonwoo, Yoon Jeonghan, Lee Jihoon, Kim Mingyu, Vernon, Boo Seungkwan, Choi Seungcheol, Hoshi, The 8, Lee Seokmin, Wen Junhui, Joshua dan Lee Chan itu nyata berada di kelas tersendiri.

Diakui nama SEVENTEEN memang mesra di telinga peminat, namun kurang menjadi sebutan. Namun, peminat fanatik di Malaysia pastinya kini bertambah selepas konsert Diamond Edge di Stadium Negara, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Bukan memuji melambung tinggi kumpulan itu, namun persembahan yang ditampilkan mereka pada konsert berkenaan benar-benar mengagumkan, apa lagi ia siri konsert jelajah dunia pertama.

Boleh dikatakan, ia cukup cemerlang dan tampak persiapan mereka bukan calang-calang. Tidak keterlaluan, segala aspek dalam persembahan mereka boleh dikategorikan luar biasa.

Bermula dari aspek nyanyian tentunya. Kebolehan mereka menyanyi pelbagai genre lagu baik balada, rancak, hip hop dan pop rock membuktikan vokal mereka berkualiti.

Biarpun nampak seperti kumpulan idol biasa yang lain, SEVENTEEN memiliki kekuatan tersendiri dalam menakluk pentas. Tenaga mereka begitu menyemarakkan lagi sorakan lebih 5,000 penonton yang hadir.

Terlihat kesungguhan mereka dalam mempersembahkan setiap lagu. Bukan sekadar pentingkan kesempurnaan nyanyian semata-mata, bahkan mereka berusaha menjadi penghibur.

Tidak ketinggalan, kumpulan itu begitu selesa di pentas dan selamba bergurau senda. Mereka juga tahu berseronok dan bukannya terlalu mengikut protokol demi menjaga imej.

Segala aksi mereka lakukan termasuklah baring dan melompat. Namun, sebenarnya itulah yang mencuit hati penonton serta anggotanya tidak henti-henti melambai ke arah mereka.

Koreografi tarian yang ditampilkan SEVENTEEN juga sangat menarik. Walaupun rentak tarian mereka nampak lucu namun ia masih nampak ada kelas.

Dari segi interaksi serta komunikasi mereka dengan penonton juga patut dipuji. Mereka seakan-akan sudah sangat biasa di pentas dan tidak kekok pun.

Pujian juga patut diberikan kepada keseluruhan produksi baik bahagian pementasan, sistem bunyi dan pencahayaan. Rapi dan cukup teratur, ia menyempurnakan lagi konsert itu.

Terutama bahagian pementasan dapat dilihat prop digunakan bukan calang-calang seperti kerusi raja, platform tinggi, dan replika besar permata, sangat memukau.

SEVENTEEN mempersembahkan rangkaian lagu hit mereka termasuklah Pretty U, Beautiful, Adore U, Still Lonely, Very Nice, Swimming Fool, Mansae, Boom Boom, We Gonna Make It Shine 2017, Don’t Listen Secretly dan Check In.

Tidak ketinggalan, lagu OMG, Highlight, Crazy In Love, Habit, If I, Rock, Chuck, Don’t Wanna Cry, Shining Diamond, Healing dan Love Letter.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 12:54 PM