HANYA 10 peserta Clever Girl Malaysia yang tinggal.
HANYA 10 peserta Clever Girl Malaysia yang tinggal.
Michelle Gun


Sikap optimistik dan perwatakan ceria peserta musim kedua Clever Girl Malaysia, Hani Nazrina Hanizar antara sebab dia berjaya merangkul gelaran juara minggu keempat program realiti itu, Jumaat lalu.

Hani yang juga pelakon membawa pulang wang tunai RM1,000 dan memperoleh imuniti yang membolehkan dia terselamat daripada penyingkiran pusingan seterusnya.

Ditanya mengenai komen negatif dilemparkan netizen pada dirinya dan peserta lain, pelakon berasal dari Perlis itu memandang positif isu terbabit.

“Saya menganggap semua komen di media sosial sebagai kritikan membina dan akan berusaha memperbaiki kelemahan diri. Bukan semua orang berpuas hati dengan pencapaian kita, tetapi saya tidak akan berputus asa dan sentiasa yakin dengan kebolehan diri sendiri,” katanya.

Penonton sekali lagi menyaksikan peserta Negeri Sembilan, Fadila yang berada di tangga tercorot selama dua minggu berturut-turut berjuang untuk mengekalkan dirinya di pentas Clever Girl Malaysia di pusingan penyingkiran.

Bagi pusingan itu, Fadila perlu berdepan lawannya iaitu Visha dari Johor Bahru yang tewas selepas gagal memberi jawapan betul bagi setiap soalan diajukan.

Visha ketika diminta mengulas persembahannya pada malam itu mengakui agak tergesa-gesa menjawab soalan.

“Oleh kerana mahu cepat menjawab soalan menyebabkan saya melakukan beberapa kesalahan secara tidak sengaja. Bagaimanapun, peluang menyertai program ini memberi saya pengalaman berharga.

“Terima kasih kepada pihak produksi dan penyokong yang tidak berhenti memberi kata-kata semangat kepada saya sepanjang tempoh empat minggu,” katanya.

Sementara itu, program ini turut menyediakan talian hayat yang memberi peluang kepada penonton untuk mengambil bahagian dengan membantu peserta menjawab soalan sukar di pusingan penyingkiran.

Penonton boleh melayari laman web www.tv3.com.my/clevergirl untuk membantu menyelesaikan soalan itu dengan memilih jawapan dalam bentuk objektif.

Saksikan peserta manakah yang layak menjadi Clever Girl musim kedua yang bersiaran secara langsung dari studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Program ini boleh ditonton pada setiap Jumaat, jam 9 malam di saluran TV3.

Selain itu, pelbagai hadiah menarik turut menanti penonton menerusi kuiz mingguan di laman web www.tv3.com.my/clevergirl.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 12:02 PM