RIZATUL Akman menunjukkan kubur Tok Selehor kepada pengunjung.
RIZATUL Akman menunjukkan kubur Tok Selehor kepada pengunjung.
Siti Rohana Idris


Mengikut Kamus Dewan Edisi Ketiga, bersuluk membawa maksud pengasingan diri untuk bertafakur atau menenangkan fikiran dan mendekatkan diri dengan Pencipta.

Bagi penuntut ilmu tasawuf, bersuluk menjadi sebahagian cara untuk mencapai kesempurnaan dalam pengajian.

Malah, tempat pilihan untuk bersuluk tentu sahaja di kawasan yang sunyi dan mampu menguji diri supaya perkara yang dipelajari dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Antaranya Suluk Tok Selehor di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kok Pasir, Tumpat, Kelantan yang turut diangkat sebagai lokasi Pelancongan Islamik oleh Tourism Malaysia Kelantan.

Di situ terdapat ruangan khas seperti wakaf yang turut mempunyai pintu masuk daripada kepala kereta api lama. Di dalamnya pula ada sebuah lubang konkrit berkedalaman tujuh kaki (2.33 meter) menyerupai kedalaman sebuah kubur orang Islam.

Peserta dibenar bersuluk di dalam lubang itu termasuk ketika tengah malam dan keadaan sunyi sepi. Sudah tentu mencabar keberanian sesiapa pun kerana secara tidak langsung membayangkan diri kita di alam kubur.

Suluk itu dibina tokoh ulama terkenal Kelantan iaitu Allahyarham Abdul Rahman Uthman atau lebih dikenali sebagai Tok Selehor pada 1921.

Asalnya, lokasi itu menjadi tempat beliau beribadat bagi menghilangkan sifat riyak dalam diri dan kini kawasan berkenaan dipulihara waris Allahyarham untuk dikongsikan bersama mereka yang benar-benar mahu mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Cicit Allahyarharham, Rizatul Akman Zaid, 44, yang bertanggungjawab menjaga kesucian tempat itu berkata, sejak dibuka kepada umum pada 1999, lokasi berkenaan kerap dikunjungi mereka dari seluruh pelosok tanah air dan luar negara termasuk Indonesia serta Singapura.

“Ramai mengenali tempat ini berikutan nama Tok Selehor yang jugai ulama terkenal ketika zamannya.

“Sejak dibuka kepada umum, saya sekeluarga memang menjaga kerukunan dan kesucian tempat ini sebab tidak mahu ia dicemari perkara tidak elok yang dilaknat Allah SWT kerana niat mesti hanya untuk mengasingkan diri dan kembali dekat kepada-Nya.

“Tempoh paling ramai yang mahu bersuluk adalah tengah malam hingga awal pagi. Ketika Ramadan juga suluk ini menerima permintaan tinggi terutama 10 malam terakhir Ramadan kerana umat Islam mencari Lailatulqadar.

“Namun, saya mengehadkan kemasukan kerana tidak mahu ia tercemar. Selain orang perseorangan, ada juga pihak sekolah anjurkan kem motivasi dan berkunjung ke sini untuk mengajar pelajar,” katanya ketika ditemui.

Bagi tujuan motivasi, katanya, pelajar akan dikafankan di atas wakaf sebelum dibawa masuk ke dalam lubang suluk dan ditinggalkan berseorangan selain diperdengarkan audio berkenaan pertanyaan malaikat Mungkar dan Nakir.

Pengalaman seperti menghadapi kematian itu akan menjadi pengajaran paling berguna kepada remaja terutama mereka yang ingkar perintah Allah.

Bagaimanapun, Rizatul Akman berkata, ada pihak tidak bertanggungjawab turut menganggap lokasi suluk sebagai tempat keramat dan peluang untuk melakukan perbuatan khurafat, lebih-lebih lagi kaki judi yang memuja untuk dapatkan nombor ekor.

“Namun, kebiasaannya apabila ada yang berniat tidak baik dan mahu membuat jahat, akan dapat ‘balasan’ segera kerana pernah berlaku ke atas beberapa individu.

“Ada yang menggelupur di dalam suluk itu dan tidak sedarkan diri hingga memaksa saya dan beberapa penduduk menyelamatkannya.

“Apabila individu itu sedar, dia beritahu ada ular besar mendatanginya malah tubuh terasa dipalu dengan kuat,” katanya.

Seorang pengunjung yang kerap datang bersuluk di situ, Che Soh Che Loh, 60, berkata, dia akan bermalam dan bersuluk pada setiap malam Jumaat.

Amalan itu sudah dilakukan sejak berusia 15 tahun kerana mahu lebih dekat dengan Allah dan diberkati.

Dia biasanya akan memulakan bersuluk selepas Isyak dan keluar selepas Subuh.

“Tidak dinafikan ketika mula-mula bersuluk di sini, kita takut. Macam-macam perasaan ada tapi takut itu mengatasi semuanya.

“Namun, lama-kelamaan perasaan takut itu hilang dan akan diganti rindu sekiranya tidak bersuluk di sini.

“Dalam ruang yang sempit itu saya menyerahkan sepenuh jiwa kepada Allah dengan mengerjakan solat sunat Taubat, solat Hajat dan membaca al-Quran sebelum terlelap beberapa minit di atas sejadah.

“Ada ketikanya saya diuji dengan terdengar suara meraung dan menjerit seakan-akan sedang menerima azab daripada kubur sebelah suluk. Tapi semuanya saya anggap rahsia Pencipta.

“Setiap orang yang bersuluk akan mengalami pengalaman berbeza-beza,” katanya yang turut memahirkan diri dalam ilmu perubatan Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 10:00 AM