WAN Zulkiflee berucap ketika pengumuman laporan kewangan suku ketiga Kumpulan Petronas. FOTO Ghazali Kori
WAN Zulkiflee berucap ketika pengumuman laporan kewangan suku ketiga Kumpulan Petronas. FOTO Ghazali Kori
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memberi jaminan untuk tidak mengurangkan jumlah kakitangan tetapnya walaupun berdepan keadaan sukar akibat kejatuhan harga minyak dunia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, banyak faktor perlu diambil kira sebelum mengurangkan jumlah pekerja sedia ada.

"Bukan mudah untuk mengurangkan pekerja sedia ada kerana kami perlu mengambil kira banyak perkara termasuk kemahiran yang mereka miliki," katanya.

Menurutnya, pihaknya mengambil langkah dengan menempatkan sebilangan pekerja dalam segmen perniagaan Petronas yang lain bagi menyokong operasi yang menunjukkan perkembangan lebih baik.

"Kami akan memberi tumpuan kepada aktiviti hiliran dan menempatkan lebih banyak tenaga kerja dalam segmen ini," katanya.

Industri minyak dan gas merekodkan prestasi kurang memberangsangkan dengan kira-kira 200,000 kakitangan diberhentikan di seluruh dunia akibat kejatuhan harga minyak dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 6:11 PM