Oleh Siti Zarinah Sahib

Urusan dalam rumah tangga sebenarnya bukanlah menjadi tanggungjawab wanita semata-mata, sebaliknya semua yang berada di dalam rumah harus bersama-sama memastikan persekitaran rumah berada dalam keadaan bersih dan selamat.

Lelaki khususnya suami sering kali menganggap kerja seperti membasuh baju, mengemas rumah, mencuci pinggan atau memasak di bawah tanggungjawab isteri. Ini kerana mereka berasakan, sudah melakukan kerja di pejabat dan tidak perlu membantu isteri di dapur.

Ada kala hal ini menyebabkan berlaku perselisihan faham sehingga pergaduhan kecil suami isteri. Bagi pihak isteri terutama yang bekerja sentiasa mengharapkan suami memahami yang mereka bersama-sama mencari rezeki justeru urusan dalam rumah tangga seharusnya dilakukan bersama-sama.

Terdapat pelbagai cara boleh dilakukan agar suami sedar tanggungjawab mereka, antaranya dengan:

1. Membuat perjanjian

Sebelum berkahwin anda suami isteri seharusnya menjelaskan bidang tugas masing-masing. Jika boleh buat satu daftar tugas atau perjanjian yang suami seharusnya sama-sama membantu isteri melakukan kerja rumah. Ini bagi memastikan suami bertanggungjawab dan tahu bidang tugasnya di rumah. Kebanyakan kes terutama lelaki yang dilahirkan dalam keluarga kaya atau berada langsung tidak pernah melakukan kerja rumah, jadi selepas berkahwin mereka meneruskan perkara ini kerana merasakan ia sudah biasa. Jika tidak dijelaskan sudah pasti mereka meneruskannya selepas melangsungkan perkahwinan.

2. Jangan jemu minta bantuan

Selalunya wanita tidak mahu meminta bantuan suami sedang­kan sebenarnya mereka sudah letih. Hal ini menyebabkan isteri sering mengeluh sendiri. Jalan penyelesaiannya adalah dengan meminta bantuan suami. Dengan cara ini suami tahu yang dia berperanan di rumah bukan saja sebagai ketua keluarga mencari rezeki, tetapi sama-sama membantu isteri menyelesaikan kerja rumah.

3. Ucapkan terima kasih

Kebiasaannya lelaki enggan melakukan kerja rumah kerana merasakan harga diri mereka berkurang. Apatah lagi apabila dilihat jiran atau ahli keluarga lain, sudah pasti mereka malu. Untuk mengatasinya isteri harus mengucapkan terima kasih sebaik saja suami melakukannya kerja rumah. Kemudian katakan anda berbangga mendapat suami sepertinya dan bantuan diberikan sangat besar ertinya. Ucapan terima kasih ini menjadi penghargaan yang sangat besar bagi suami dan akan menyebabkan harga diri mereka meningkat.

4. Bekerja dalam kumpulan

Di rumah setiap kerja harus dilakukan secara berkumpulan. Ini akan merapatkan hubungan anda dan pasangan. Setidak-tidaknya, melakukan kerja bersama-sama akan meningkatkan rasa kasih sayang antara satu sama lain.

5. Fleksibel dan sabar

Jangan menilai kerja yang dilakukan pasangan anda. Jika kerja yang dilakukan kurang sempurna misalnya baju kurang bersih atau lipatan baju kurang sempurna jangan marah, sebaliknya beritahu dalam nada lembut cara membersihkan yang betul. Memberi contoh jauh lebih berkesan daripada meng­kritik dan membuat pasa­ngan menjadi semakin malas membantu anda.

6. Beri hadiah

Berikan hadiah kepada pasangan seperti baju kegemarannya atau paling tidak menyediakan makanan lazat kegemarannya sehingga dia merasakan dialah suami paling sempurna dan beruntung memiliki isteri penyayang seperti anda.

7. Jangan mendesak atau mengarah

Suami memang pantang menerima arahan isteri. Seeloknya mulakan dengan perkataan ‘tolong’ dan ucapkan dalam nada yang lembut, seakan-akan merayu. Pasti suami tidak akan menolak permintaan anda. Meminta suami membantu urusan rumah tangga juga memerlukan masa yang tepat. Paling baik adalah ketika suami sedang bersantai dan dalam keadaan baik. Misalnya ketika sedang menonton televisyen, makan bersama atau sebelum tidur.

8. Tawarkan suami melakukan tugas berat

Tugas itu membabitkan mencuci kereta, membersihkan bilik air, memotong rumput, membersihkan longkang, membaiki barang rosak dan pekerjaan lain yang memerlukan tenaga ekstra. Biasanya lelaki cukup suka wanita menghargai tenaganya. Ia akan membuatkan mereka berasa ‘macho’. Selain itu, tugas yang memerlukan kepakaran lelaki juga dapat dialihkan kepada mereka seperti membersihkan peti ais, menyapu sawang, mencuci bilah kipas angin dan menukar mentol. Terangkan bahawa kalau anda yang membuatnya, anda mungkin tersalah langkah kerana lelaki umumnya lebih faham mengenai elektrik dan barang elektronik.

9. Hantarkan khidmat pesanan ringkas

Dalam keadaan sibuk biasanya wanita (isteri) terlupa bertanya khabar kepada suami. Apa yang boleh dilakukan hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bertanya sama ada dia sudah makan atau belum, pulang jam berapa kemudian selitkan ucapan terima kasih dalam pesanan SMS itu. Suami pastinya teruja dengan SMS dari anda itu.

10. Minta dia lakukan perkara yang sama

Selepas suami melakukan apa yang anda minta, jangan berhenti setakat itu sebaliknya minta dia melakukan untuk kali kedua sehingga dia berasa senang dan melakukannya tanpa disuruh. Lama-kelamaan suami tentunya akan ikhlas melakukan semua kerja-kerja rumah bersama-sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 12:06 PM