Kuantan: Sebanyak 35 kes samun kedai serbaneka 24 jam dicatat di negeri ini sejak Januari hingga Oktober tahun ini, dengan 68 peratus daripadanya dilaporkan berlaku antara jam 1 hingga 8 pagi.

Ketua Siasatan Jenayah Pahang Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata daripada jumlah itu, polis berjaya menyelesaikan 24 kes atau 70.6 peratus membabitkan beberapa kumpulan antaranya Geng Black, Geng Ayat, Geng Ivan, Geng Chik Bob serta individu yang melakukan samun secara solo.

"Seramai 24 suspek berusia 20 hingga 40an telah diberkas dan ada sudah dituduh dan dijatuhkan hukuman penjara selain diambil tindakan mengikut Undang-Undang Pencegahan Jenayah (POCA).

"Polis percaya kedai serbaneka 24 jam menjadi sasaran mudah penjenayah terutamanya pada tengah malam dan situasi ini menyebabkan pekerja premis itu berada dalam keadaan kurang selamat," katanya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, polis menasihati pengurusan premis agar menutup pintu kedai selepas tengah malam dan hanya berurusan menerusi kaunter tingkap atau hanya

membuka pintu setelah topi keledar dan penutup muka ditanggalkan pelanggan bagi tujuan keselamatan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 8:08 PM