LAGU bonus sebagai kenangan manis apabila peminat tak berganjak selepas masa sebenar persembahan tamat.
LAGU bonus sebagai kenangan manis apabila peminat tak berganjak selepas masa sebenar persembahan tamat.
Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Jerebu yang melanda negara menyebabkan ada sebilangan masyarakat mengehadkan aktiviti di luar rumah. Namun, itu bukan alasan bagi peminat tegar kumpulan rock terkenal tanah air, Search bersatu untuk meraikan Konsert Search Panggung Khayalan yang berlangsung di Kompleks Sukan Educity Nusajaya malam kelmarin.

Kira-kira 8,000 peminat dari seluruh negara dan Singapura mula membanjiri pekarangan lokasi konsert seawal jam 5 petang untuk me­nyaksikan persembahan Search selepas kali terakhir muncul di Johor bersama Wings menerusi Konsert Double Trouble pada 2010.

Pentas Panggung Khayalan bermula pada jam 9 malam. Bagaimanapun, peminat terlebih dahulu dihiburkan dengan persembahan Fiq Mentor yang menyanyikan tiga lagu termasuk single terbarunya berjudul Peluang Sekali Lagi.

Stadium gamat dengan jeritan dan tepukan gemuruh apabila kumpulan berasal dari Johor Bahru ini muncul di atas pentas.

Keterujaan peminta dibalas oleh Amy, Yazit dan Pae (dram), Nasir (bass), Din (gitar kedua) serta Kid (gitar utama) yang memanaskan suasana dengan rangkaian lagu hit Search. Bermula dengan Panggung Khayalan, Paranoid, Gadis Ku, Metropolitan dan Honky Tong Kosong, semuanya membangkitkan keseronokan peminat.

Tidak cukup dengan itu, mereka terus disajikan dengan lagu berhantu, Kejoraku Bersatu, Melastik ke Bintang, Menuju Puncak, Ku Taklukkan Dunia, Fantasia Bulan Madu, Kejora, Melayar Bahtera, Rozana, Isabella, Gothik Malam Edan, Pelesit Kota, Diary Habil Qabil, No Way Jose, Isi dan Kulit dan Pawana.

Seperti yang dijanjikan Amy dan penganjur konsert ini, sistem bunyi dan pencahayaan sememangnya terbaik dan sama seperti yang ditampilkan dalam Konsert Search : Live In Istana Budaya 2014.

Kehebatan vokal Amy dan kebolehannya berinteraksi dengan peminat dipuji ramai. Meskipun sudah berusia, dia masih segar dan bertenaga sepanjang persembahan.

Persembahan sepatutnya berakhir jam 11.40 malam, namun seperti biasa peminat tidak berganjak sekali gus memaksa Search menyampaikan beberapa lagu bonus sebagai tanda kenangan manis buat semua yang hadir.

Yazit masih berbisa

Dalam pada itu peminat terpegun melihat kehebatan Yazit beraksi bersama Search. Apatah lagi sebelum ini, Yazit dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani rawatan penyakit buah pinggang kronik.

Yazit, 53, yang ditemui berkata, perasaan sayangnya terhadap muzik dan Search serta tanggungjawab kepada peminat memberikannya semangat untuk melakukan yang terbaik.

“Bagi saya itu rahmat Tuhan. Kekuatan itu datang dari dalam kerana saya tidak akan memanjakan diri. Saya berusaha keras untuk bangun menjayakan persembahan ini.

“Penampilan pada malam ini (kelmarin) juga adalah cara saya membalas doa peminat yang begitu prihatin dengan masalah jantung, buah pinggang dan terbaru penyakit asma yang menyebabkan saya sukar untuk bernafas.

“Sayang untuk lepaskan peluang beraksi dalam konsert ini. Kalau dilepaskan, rasanya peminat tidak suka kerana Search adalah kami berlima. Saya sentiasa berusaha dan yang menentukannya adalah Tuhan,” katanya yang beraksi untuk enam lagu.

Yazit turut menerima penghargaan daripada penganjur Sasa Selatan Resources yang membuat jualan amal kemeja-T dan menyumbangkan 100 peratus hasil kepadanya.

Sementara itu, Amy mengakui berpuas hati kerana dapat memenuhi janjinya memberikan persembahan terbaik sempena ulang tahun ke-35 Search tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 5:00 AM