Susunan Norhayati Nordin


Jika di Indonesia, pelakon Suzanna cukup dikagumi kerana lakonan hebatnya sebagai hantu dalam filem seram dibintanginya seperti Sundal Bolong, Bernapas Dalam Lumpur, Beranak Dalam Kubur dan Ratu Ilmu Hitam.

Di Thailand pula, nama Naphakpapha Nakprasit kini jadi sebutan. Naphakpapha, 34, atau dikenali dengan panggilan Mamee, mula membina nama pada 2001 menerusi filem Snake Lady (Mae bia). Filem itu mencatat kutipan pecah panggung paling tinggi dalam industri perfileman Thailand.

Lakonan mantapnya sebagai gadis menjalin cinta dengan ular turut melonjakkan nama wanita kelahiran Bangkok, Thailand itu hingga terus diberi kepercayaan menjayakan watak hantu dalam filem seram lain. Antaranya watak utama karya seram penggiat seni Thailand seperti Butterfly Man dan Pad Thai Story.

Memiliki susuk menawan dengan kulit sawo matang, Mamee disifatkan pelakon berkaliber dan bijak menjiwai watak seram.

Dengan reaksi wajahnya saja tanpa dialog pun mampu membuatkan penonton merasai ketakutan dipersembahkan Mamee dalam lakonannya.

Menceburi bidang lakonan secara drastik, kemuncak karier lakonannya dalam karya seram tentunya dengan kejayaan menerajui filem Art Of The Devil 2 pada 2005. Ia disifatkan filem seram yang amat menakutkan.

Dalam filem ini, Mamee menjadi guru kampung yang menjadi mangsa usikan nakal pelajarnya. Dia membalas dendam menggunakan ilmu hitam terhadap bekas pelajarnya.

Lakonan hebatnya dalam filem ini melayakkan Mamee dicalonkan untuk anugerah Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Thailand National Film Awards.

Bagaimanapun, gara-gara lakonannya dikritik oleh Bangkok Critics Assembly, akhirnya pencalonan Mamee terpaksa digugurkan hanya kerana protes. Ia tidak menjejaskan namanya apabila terus menjayakan sekuel Art Of The Devil 3 pada 2008.

Suka makanan pedas dan menyanyi, Mamee juga aktif dalam peragaan dan tahun lalu wajahnya menghiasi beberapa majalah fesyen.

Boleh bermain bola tampar, Mamee juga ada asas dalam pertahanan diri kerana dia boleh bertinju. Ternyata Mamee bukan calang-calang wanita.

Dalam wawancara ringkasnya, Mamee berkata, dia suka bersukan dan melakukan aktiviti lasak kerana baik untuk kesihatan.

“Saya sukakan tinju kerana dominasi sukan ini adalah lelaki. Namun seorang wanita seperti saya juga mampu menjadi peninju yang baik.

“Saya juga suka bermain bola keranjang, berenang dan melakukan yoga jika ada masa terluang. Semua aktiviti ini untuk kesihatan,” katanya.

Berdarah kacukan Thailand, Vietnam, India dan China, Mamee juga gemar melancong dan pernah terbabit dalam pembikinan dokumentari drama berkisar dirinya.

Bersama dua rakan baiknya, Jitraporn Panit dan Penporn Poonsaem, aktres terbaik SlamDunk Film Festival 2002 ini turut merakam video ketika percutian ke pulau.

Dengan hanya berbikini, mereka bertiga merakamkan pelbagai aktiviti dilakukan dalam percutian itu untuk dipaparkan kepada peminat.

Mamee juga pernah terbabit dalam filem kerjasama Kanada-Malaysia arahan Hunt Hoe, First Bite yang bergenre komedi seram.

Filem lain, Art Of The Devil 3 (2008), The Coffin (2008), Bitter/Sweet (2009) dan The Burma Conspiracy (2011) semuanya menunjukkan lakonan matang.

Berperwatakan serius, Mamee berjaya membuktikan dia juga pelakon serba boleh. Selain beraksi dalam filem, Mamee juga membintangi siri TV.

Beberapa siri TV dibintangi ialah Mon Rak Som Tam dan MaYa sebagai watak utama dan tidak ketinggalan dia juga pernah muncul sebagai penampilan istimewa.

Membuktikan dirinya pelakon ‘low profile’, Mamee hanya melakonkan watak kecil melalui siri TV, SuaSaming Sao dan watak pembantu dalam Kon Song Jao.

Tidak banyak kisah dirinya menjadi bualan, Mamee turut dianggap suka berahsia mengenai kehidupan peribadinya. Walaupun namanya dikenali di layar perak, pendekatan dilakukan Mamee wajar dicontohi.

Turut berkebolehan menari salsa, Mamee juga muncul sebagai watak utama dalam pementasan teater KaoNokNa Show Na Bar The Musical. Dia juga menjayakan dua iklan TV, SunWa dan Heroen-Fire Eater.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 5:02 AM