SEORANG lelaki memegang bendera Palestin berdiri di atas kereta milik penjajah Yahudi yang dibakar selepas cuba masuk ke tempat suci secara haram.
SEORANG lelaki memegang bendera Palestin berdiri di atas kereta milik penjajah Yahudi yang dibakar selepas cuba masuk ke tempat suci secara haram.
AP

Baitulmaqdis: Tentera Israel semalam mengeluarkan puluhan penganut Yahudi dari sebuah lokasi suci di Tebing Barat selepas mencetuskan pertempuran dengan penduduk Palestin apabila masuk ke situ secara haram.

Tentera berkata, 30 penganut Yahudi datang ke kawasan di Nablus itu yang masih di bawah kawalan Palestin.

Lokasi itu - yang dibakar penduduk Palestin, minggu lalu - boleh dikunjungi orang Yahudi yang dibenarkan beribadah di situ, tetapi memerlukan kebenaran pihak berkuasa Palestin.

Sehubungan itu, kata tentera, lawatan semalam dibuat tanpa permit menyebabkan pertempuran berlaku apabila kumpulan itu diserang penduduk Palestin yang berang.

Hasil perbincangan dengan pasukan keselamatan Palestin, tentera Israel dipanggil membawa keluar kumpulan Yahudi berkenaan. Seorang cedera ringan dan lima ditahan untuk siasatan.

Lokasi itu dibakar penduduk Palestin Jumaat lalu - kali pertama serangan dilakukan terhadap tempat suci - dalam kejadian yang diselar Presiden Mahmoud Abbas dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon.

Sejak sebulan lalu, lapan orang Israel terbunuh dalam serangan oleh penduduk Palestin yang kebanyakannya dilakukan menggunakan pisau.

Namun, 40 penduduk Palestin mati ditembak pasukan keselamatan Israel termasuk 19 yang didakwa melakukan serangan, selain maut ketika bertempur dengan tentera Yahudi.

Keadaan semakin tegang sejak sebulan lalu ketika sambutan tahun baru Yahudi apabila khabar angin mengatakan Israel merancang menawan Masjid Al-Aqsa.

Israel menafikan dakwaan itu dan mendakwa tidak merancang mengubah perjanjian di situ yang membolehkan orang Yahudi melawat, tetapi tidak beribadat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 6:46 AM