Suatu ketika dulu dua artis popular ini pernah bertunang, tapi kedua-dua mereka akur dengan ketentuan Ilahi apabila putus di tengah jalan.

Bagaimanapun, akhirnya artis lelaki itu berkahwin dengan orang lain. Itulah yang dikatakan jodoh.

Kebahagiaan rumah tangga artis itu sering menjadi buah mulut orang berikutan sikap romantisnya melayan isteri dan anak.

Tanpa sebarang gosip dan kontroversi, kehidupan rumah tangga mereka aman damai.

Baru-baru ini, rakan SS memberitahu ada pihak cuba menggandingkan dua artis itu di kaca TV. Antara mereka memang tak ada masalah biarpun pernah ada sejarah peribadi bersama.

Atas dasar profesional dalam bekerja, mereka cuba tidak mahu mengingat perkara lalu. Kata orang ‘past is past’. Paling penting kini fokus apa di depan mata.

Tapi malangnya, isteri artis lelaki tadi cuba menghalang. Seboleh-bolehnya dia tak mahu artis wanita itu ‘bersatu’ semula dengan suaminya biarpun sekadar lakonan.

Kata rakan SS, terkejut juga artis wanita itu apabila mendapat tahu perkara terbabit. Bukan apa, dalam sejarah hidup mereka, dia terlebih dulu mengenali artis lelaki itu dan selepas putus tunang, mereka tak ada sebarang masalah.

Artis wanita itu hairan kenapa kehadirannya perlu dijadikan isu. Kenapa dia perlu takut sedangkan suaminya itu seorang yang setia dan takkan sesekali mermpersiakan kehidupan rumah tangga mereka?

SS: Ada peminat meluah­kan rasa teringin melihat gandingan Aaron Aziz dan Rita Rudaini di kaca TV seperti sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 4:56 AM