ANGGOTA keluarga dan petugas Jabatan Pertahanan Awam menghadiri upacara pengebumian rakan mereka  yang terbunuh dalam serangan udara tentera Russia di Ehsim, Idlib,  wilayah barat laut  Syria, kelmarin.
ANGGOTA keluarga dan petugas Jabatan Pertahanan Awam menghadiri upacara pengebumian rakan mereka yang terbunuh dalam serangan udara tentera Russia di Ehsim, Idlib, wilayah barat laut Syria, kelmarin.
Agensi

Istanbul: Perdana Menteri Turki Ahmed Davutoglu semalam berkata, pembabitan Russia dalam konflik di Syria hanya memburukkan krisis di negara berkenaan.

Ahmed berkata demikian ketika bercakap dalam satu wawancara dengan televisyen Turki mengenai pencerobohan pesawat pengebom Russia di ruang angkasanya.

Menurutnya, Moscow menyifatkan kejadian itu semalam sebagai satu kesilapan.

Dalam kejadian berkenaan, sebuah pesawat tentera Russia yang terbabit dalam serangan ke atas kedudukan militan Negara Islam (IS) di Syria memasuki ruang udara Turki berhampiran sempadan kedua-dua negara.

Ankara mengerahkan dua jet F-16 untuk memintas pesawat Russia itu.

Kementerian Luar Turki memanggil duta Russia di negara itu untuk mengemukakan bantahan.

Ahmed memberi amaran negaranya tidak akan teragak-agak menembak siapa saja menceroboh ruang angkasanya.

Menteri Luar Feridun Sinirlioglu menghubungi rakan sejawatannya Sergei Lavrov untuk memberi amaran supaya kejadian itu tidak berulang.

Turki dan Russia bertentangan pendapat mengenai krisis Syria. Moscow berusaha mempertahan dan mengekalkan Presiden Bashar al-Assad sementara Ankara menyokong usaha menggulingkan pemimpin itu sebagai cara menyelesaikan perang saudara di negara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 8:08 AM