Kelihatan seorang lelaki melakukan aktiviti memancing walaupun keadaan cuaca di bandar Muar kelihatan berjerebu petang tadi. FOTO Syarafiq Abd Samad
Kelihatan seorang lelaki melakukan aktiviti memancing walaupun keadaan cuaca di bandar Muar kelihatan berjerebu petang tadi. FOTO Syarafiq Abd Samad
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Sesi persekolah di semua sekolah negeri ini dibuka semula esok selepas ditutup selama dua hari berikutan masalah jerebu.

Dalam satu kenyataan media, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md Jais Sarday berkata, arahan itu dibuat selepas melihat keadaan jerebu di seluruh negeri ini dalam keadaan yang lebih baik berbanding kelmarin dan semalam.

Katanya, semua kategori sekolah di negeri ini dibuka semula esok memandangkan pelajar terutamanya yang menghadapi peperiksaan utama seperti PT3, SPM dan STPM perlu menghabiskan silibus atau menjalani ulangkaji.

"Bagaimanapun, saya mengingatkan pelajar yang mempunyai masalah kesihatan seperti alahan, asma dan lain-lain perlu mendapatkan pengesahan dari doktor di hospital atau klinik kerajaan bagi membolehkan pengecualian tidak hadir ke sekolah," katanya.

Md Jais turut menggalakkan pelajar supaya memakai topeng bersesuaian ketika ke sekolah.

Beliau berharap pihak sekolah dapat mengelakkan aktiviti luar bilik darjah dan di tempat terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 6:37 PM