Anyonghaseyo! Minggu ini bukan saja menjadi minggu paling penting buat pelajar tingkatan lima yang sedang menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), begitu juga situasinya di Korea Selatan.

Tentu sekali pada waktu ini semua calon peperiksaan di sana berdebar-debar menghadapi ujian dipanggil 'suneung' yang bakal menentukan masa depan mereka.

Ujian berkenaan bagi menguji sama ada mereka layak memasuki kolej atau tidak.

Selain mempersiapkan diri menghadapi ujian, mereka juga semestinya memerlukan kata-kata semangat serta sokongan penuh.

Prihatin dan turut mahu menjadi pembakar semangat kepada calon itu, beberapa artis tidak ketinggalan menyatakan sokongan mereka.

Ia termasuk artis naungan FNC iaitu CNBlue, FT Island, AOA dan Juniel.

Bahkan, mereka turut membuat rakaman kata-kata semangat dan memuat naik video itu di YouTube. Penuh dengan kata-kata rangsangan, mereka menyeru calon ujian itu bersikap optimis selain membuat yang terbaik.

Tidak ketinggalan, kumpulan Sunny Hill turut membuat rakaman nyanyian secara langsung menerusi lagu A Flying Butterfly.

Semuanya demi menaikkan lagi semangat mereka menghadapi ujian berkenaan.

Lembaran Hallyu! minggu ini dibuka dengan kisah kontroversi dicetuskan anggota kumpulan Block B iaitu Zico.

Hanya kerana muzik videonya untuk lagu Tough Cookie yang dilancarkan baru-baru ini, dia dihamburkan komen pedas daripada peminat.

Mana tidaknya, terlalu banyak aspek dalam lagu serta video itu sendiri yang menggugat sensitiviti pelbagai pihak.

Namun, nampaknya Zico terlepas pandang perkara itu sehinggakan kini dikecam habis-habisan di Internet.

Kecaman itu sebenarnya sudahpun bermula sejak lagu berkenaan dilancarkan. Ia disebabkan lirik rapnya seakan-akan menghina dan memalukan golongan homoseksual.

Namun, ia semakin memuncak apabila video muziknya pula dilancarkan di mana dalam beberapa babak dia memakai jaket tertera gambar bendera yang melambangkan simbol kepada kebencian dan bersifat rasis.

Meskipun banyak perdebatan tercetus mengenai kefahaman bendera itu, namun ia amat menyentuh sensitiviti banyak pihak. Sama ada benar ia membawa simbol buruk atau tidak, masyarakat masih mengutuk sesiapa yang mengenakan bendera itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:00 AM