Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Sepang: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menerima kerjasama yang baik daripada syarikat penerbangan yang beroperasi di negara ini dalam usaha menuntut semula bayaran berkaitan caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang tertunggak.

Pengarah Urusannya Datuk Badlisham Ghazali berkata, bayaran berkenaan adalah penting memandangkan sebahagian besarnya adalah untuk menampung kos menguruskan lapangan terbang di bawah kendalian MAHB.

“Kami sedang melaksanakan proses kutipan dan ia mendapat kerjasama baik daripada syarikat penerbangan sama ada tempatan dan antarabangsa.

“Ia dijangka dapat diselesaikan secepat yang mungkin,” katanya di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan jumlah sebenar tunggakan berkenaan, namun ia disifatkan mencecah jutaan ringgit.

“Tidak perlu dinyatakan jumlah sebenar tunggakan ini tetapi ia mencecah angka jutaan ringgit. Ini kerana terdapat syarikat penerbangan yang mempunyai tunggakan sehingga dua tahun.

“Namun, kebanyakan tunggakan dikira selepas tempoh tiga bulan bayaran yang lewat dibuat,” katanya.

Menurutnya, syarikat yang mempunyai tunggakan yang banyak kebiasaannya mengendalikan operasi secara kecil-kecilan di Malaysia.

“Terdapat syarikat penerbangan yang mempunyai pejabat operasi di sini, tetapi berpengkalan di negara lain. Ia menyebabkan urusan pembayaran mengambil masa lebih panjang.

“Namun, saya yakin tunggakan ini dapat diselesaikan dan semua syarikat penerbangan memberikan kerjasama yang baik,” katanya.

Laporan baru-baru ini menyatakan bahawa MAHB mempertimbangkan langkah lebih tegas termasuk mengeluarkan Surat Tuntutan serta menggunakan hak dan remedi diperuntukkan kepadanya mengikut undang-undang terhadap syarikat penerbangan yang gagal membuat bayaran tunggakan.

Ini termasuk tindakan mengikut Peraturan 177 Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 1996 terhadap syarikat penerbangan ingkar yang antara lain memperuntukkan syarikat dilesenkan boleh mengambil tindakan tidak membenarkan sesebuah pesawat berlepas dari lapangan terbang sehingga caj tertunggak dilunaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 5:05 AM