Foto hiasan.
Foto hiasan.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), anak syarikatnya Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd dan Capital A Berhad (dahulu dikenali sebagai AirAsia Group Berhad), syarikat induk AirAsia Aviation Group Limited, telah mengumumkan pembatalan prosiding undang-undang antara semua pihak.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, pihaknya berbesar hati mengesahkan bahawa semua pihak telah bersetuju membatalkan prosiding.

"Tiada lagi sebarang prosiding undang-undang atau litigasi material daripada MAHB terhadap AirAsia Berhad/AirAsia X Berhad.

"Kami percaya bahawa kerjasama erat dengan semua pihak berkepentingan dalam ekosistem penerbangan adalah kunci untuk mendorong kami ke arah pertumbuhan industri dan negara.

"Kami komited untuk terus bekerjasama bagi manfaat dan kejayaan bersama semua pihak berkepentingan dalam sektor penerbangan termasuk syarikat penerbangan, lapangan terbang, penumpang dan industri," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia Berhad dan AirAsia X juga telah menarik balik semua prosiding undang-undang dan berharap dapat bekerjasama untuk masa depan yang lebih baik.

"Sementara dunia kembali pulih daripada pandemik dan kerugian besar dalam sektor penerbangan, adalah penting untuk semua pihak berkepentingan bekerjasama merangsang kebangkitan semula perjalanan udara.

"Sebagai dua pemain utama yang memacu ekosistem penerbangan, ini adalah tempoh penting bagi MAHB dan syarikat penerbangan kami yang berpangkalan di Malaysia iaitu AirAsia Berhad dan AirAsia X Berhad, menunjukkan solidariti dalam menjadikan industri penerbangan Malaysia berdaya saing dan kembali menjadi tumpuan.

"Kami berbesar hati kerana telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan sebarang isu tertunggak dengan MAHB, melalui dialog yang menyokong dan membina dalam semangat kerjasama. "Ini petanda baik untuk menyokong pemulihan industri dan merangsang pertumbuhan pelancongan dan ekonomi Malaysia.

"Kami berterima kasih kepada MAHB atas sokongan mereka untuk menjadikan perjalanan udara dari hab utama kami di klia2 bukan sahaja berpatutan untuk berjuta-juta tetamu pada setiap tahun tetapi juga bekerjasama untuk menyediakan perkhidmatan lebih baik bagi membina kembali industri pelancongan Malaysia untuk masa depan yang lebih cerah, yang merupakan kemenangan untuk kita semua," katanya.

Pada tahun 2020, MAHB memfailkan tuntutan sebanyak RM78 juta terhadap AirAsia X untuk mendapatkan kembali hutang daripada syarikat penerbangan berkenaan.

Caj tertunggak aeronautik itu terdiri daripada caj yang dikawal selia kerajaan termasuk caj perkhidmatan penumpang, caj perkhidmatan keselamatan penumpang, caj aerobridge, caj parkir pesawat dan pendaratan, caj kaunter daftar masuk dan caj bayaran lewat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 5:55 PM