BAJA MPOB F3. FOTO Ihsan MPOB
BAJA MPOB F3. FOTO Ihsan MPOB
Bisnes Metro

Kuala Lumpur: Sekumpulan penyelidik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) diketuai Ahmad Afandi Murdi menghasilkan inovasi formulasi baja yang mengandungi nutrien seimbang yang dapat meningkatkan pengeluaran hasil buah sawit.

Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, inovasi baja sebatian yang dikenali MPOB F3, adalah dalam bentuk butiran padat dan diformulasi dengan nisbah seimbang nitrogen, fosfat, kalium, magnesium dan borate yang dirumus khas untuk pokok sawit yang ditanam di tanah mineral.

"Formulasi baja MPOB F3 mengandungi nutrien seimbang juga sesuai untuk kelapa sawit yang ditanam di pelbagai jenis tanah.

"Pokok sawit perlu pembajaan yang sempurna termasuk kandungan nutrien seimbang untuk pengeluaran hasil yang tinggi.

Walaupun keperluan nutrien adalah khusus mengikut keadaan setempat, penggunaan nisbah nutrien yang seimbang dalam baja sebatian akan memberikan input nutrien yang bersesuaian pada lokasi yang berbeza," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, penggunaan baja secara sistematik akan meningkatkan pengeluaran buah tandan sawit dan menjana pendapatan yang lebih tinggi bagi pengusaha ladang dan pekebun kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 9:19 AM