KESILAPAN ejaan pada pelipat dan buku kecil wang kenangan itu.
KESILAPAN ejaan pada pelipat dan buku kecil wang kenangan itu.

Singapura: Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) membuat kesilapan memalukan dalam wang keluaran khas S$50 (RM149) yang dihasilkan untuk memperingati presiden pertama Singapura, Yusof Ishak apabila tersilap mengeja namanya dua kali pada kotak bungkusan digunakan untuk mengisinya.

Kesilapan itu dilihat pada pelipat dan buku kecil yang menghuraikan keistimewaan not S$50 itu apabila menulis nama bekas pemimpin berkenaan sebagai ‘Yusok Ishak.’

Wajah Yusof terpapar pada wang kenang-kenangan S$50 dan S$10 (RM30). Not kertas yang dilancarkan kelmarin tidak mengandungi sebarang kesilapan.

Pengarah Urusan MAS, Ravi Menon berkata, dia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesilapan itu.

“Kesilapan itu tidak patut berlaku dan tidak boleh diterima langsung. Saya bertanggungjawab sepenuhnya dan memohon maaf bagi pihak rakan sekerja yang berusaha keras menjayakan projek ini.

“Kami semua amat kecewa dengan kesilapan ini. Kami akan membetulkan kesilapan ini,” katanya.

Jurucakap MAS berkata, pihaknya kini mencetak pelekat untuk dilekatkan pada bahagian nama yang tersilap ejaan itu yang akan ditampal mulai Selasa ini.

Bagaimanapun, ada pihak yang sempat membeli wang keluaran khas itu kelmarin mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan dengan menjualnya semula.

Platform e-perdagangan Carousell menunjukkan sekurang-kurangnya 50 set wang kertas itu disenaraikan untuk dijual.

Satu set bernilai S$100 kerana mengandungi satu not S$50 note dan lima S$10, tetapi ada penjual yang menaikkan harganya antara S$18 (RM43) hingga S$100. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:07 AM