Oleh Norfaisal Jahuri

Jasin: Sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran Kejohanan Harian Metro Grand Prix Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 yang julung kali di Melaka, Honda Malaysia Cycling Club (HMCC) akan menampilkan 10 pelumba warga Jepun bagi mewarnai sirkit keempat pada 28 dan 29 November ini.

Kelab berbasikal petugas kilang Honda Malaysia Sdn Bhd di Pegoh, Alor Gajah itu dijangka memberi saingan sengit untuk kategori Lelaki Terbuka (Jamboree).

Presiden HMCC Mohammad Sharolnizam Abu Kasar berkata, kelabnya menyahut cabaran itu penuh bersemangat untuk mengharumkan nama syarikat.

Katanya, pasukan terdiri daripada petugas tempatan termasuk ekspatriat dari Jepun.

“Kita sentiasa bersedia dengan membuat kayuhan latihan tiga kali seminggu membabitkan jarak 40 kilometer (km) untuk laluan jalan raya dan lasak bagi mengekalkan kecergasan.

“Setiap HMCC terdiri daripada 39 ahli akan menyertai mana-mana kejohanan dalam dan luar negeri untuk menambah pengalaman selain meningkatkan prestasi,” katanya.

Mohammad Sharolnizam berkata, kelabnya mensasarkan 50 tempat terbaik dan akan meneruskan penyertaan pada sirkit akan datang.

Katanya, kali pertama HMCC menyertai MTB Harian Metro pada sirkit pertama di Putrajaya tahun lalu.

“Saya yakin lokasi perlumbaan di tempat sendiri memberi kelebihan kepada pelumba HMCC mencatat keputusan terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:05 AM