Oleh Hafiz Ithnin

Projek perumahan atau kediaman yang terletak berhampiran dengan pusat kemudahan awam sememangnya mempunyai nilai tambah yang tinggi bukan saja kepada penghuni, malah menjadi satu bentuk pelaburan yang baik kepada pelabur aset hartanah.

Malah, kerajaan juga agresif membangunkan projek pembangunan berorentasikan transit (TOD) yang dilihat memberi kemudahan kepada orang ramai menggunakan pengangkutan awam terutamanya Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan bas.

Antara tujuan utama pembangunan TOD ini ialah ia dapat membantu orang ramai menjimatkan kos penggunaan kenderaan persendirian sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya.

Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (Prasarana Integrated Development) adalah entiti yang melaksanakan pembangunan TOD dan terdapat enam projek sedang dibangunkan tahun ini dan dua projek lagi akan dilaksanakan pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Rudyanto Azhar berkata, TOD ialah satu kawasan yang meliputi pelbagai kemudahan pengangkutan yang berhampiran dengan projek pembangunan bercampur iaitu peruncitan, kediaman dan pejabat.

Beliau berkata, mengikut definisi Jabatan Perancangan dan Desa, TOD adalah sesuatu kawasan terletak 400 meter radius dengan pusat pengangkutan awam.

“Matlamat kita membangunkan TOD ini adalah bagi membantu orang ramai menjimatkan kos kehidupan terutama dalam aspek penggunaan pengangkutan peribadi untuk destinasi lain memandangkan ia terletak dengan kemudahan awam serta membantu membina satu gaya hidup baru bagi memudahkan orang ramai menikmati pembangunan bercampur sebagai salah satu nilai tambah kepada mereka.

“Bagi membangunkan enam TOD ini, kami mengadakan kerjasama dengan enam syarikat swasta yang berhasrat untuk membangunkan pembangunan bercampur di atas tanah milik Prasarana. Pemilihan untuk mengadakan kerjasama ini diadakan secara tender terbuka,” katanya kepada Bisnes Metro.

Enam TOD yang akan dibangunkan oleh Prasarana Integrated Development bersama rakan kongsi niaganya iaitu di IOI Puchong, Awan Besar, Ara Damansara, Kelana Jaya, Dang Wangi dan Brickfields dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sehingga RM6 bilion membabitkan 0.8 hingga 2.8 hektar setiap satu TOD.

Tanah yang digunakan bagi membangunkan TOD adalah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan ia dipajakkan kepada syarikat itu untuk pelbagai projek pembangunan yang bukan hanya tertumpu kepada projek rel kereta api dan parkir.

Ketika ditanya mengenai peningkatan harga pasaran hartanah terutama kediaman disebabkan TOD, beliau berkata, perkara itu ditentukan oleh harga pasaran semasa dan pihaknya juga tidak meletakkan sebarang syarat mengenai harga jualan kediaman kepada pembida tender projek berkenaan.

“Harga jualan pada kediaman yang berhampiran dengan TOD sememangnya premium memandangkan penghuninya akan dapat mengakses pelbagai kemudahan dengan mudah kerana mereka tidak memerlukan pengangkutan peribadi.

“Lonjakan harga pasaran kediaman juga akan dapat dirasai kawasan sekelilingnya sehingga 800 meter radius dan kami melihat walaupun harga jualan kediaman itu meningkat tetapi mereka dapat mengurangkan kos pengangkutan yang membabitkan pembayaran tol, minyak, parkir dan juga servis,” katanya.

Rudyanto berkata, pihaknya juga dalam proses perbincangan dengan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) bagi membangunkan TOD di kawasan projek kediaman yang dibangunkan oleh entiti berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:05 AM