ANTARA peserta Lantai Cilik 3.
ANTARA peserta Lantai Cilik 3.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Kementerian Pendidikan menerbitkan program Lantai Cilik berjaya apabila mendapat sambutan luar biasa.

Ini terbukti apabila musim pertama yang menyaksikan Kiawayan Dance Club (KDC) dari sekolah Kebangsaan (SK) Kiawayan, Tambunan, Sabah meraih gelaran juara mencatat rating 1.1 juta penonton manakala musim berikutnya yang dimenangi Tunas Tari Warisan, SK Tangga Batu, Melaka pula 800 penonton.

Program realiti TV pertama negara yang mengetengahkan pertandingan mencari juara tarian tradisional dan kontemporari murid sekolah berusia 12 tahun ke bawah ini diteruskan untuk musim ketiga dan memulakan rakaman pada 2 Ogos lalu. Ia bakal bersiaran di saluran TV2, jam 3 petang bermula hari ini.

Episod pengenalan Lantai Cilik diacarakan oleh Muaz ini menampilkan kumplan Sutra Budaya (SK Bandar Pontian, Johor) yang akan mempersembahkan tarian kreasi ‘Embun Sok Sek’, Sutra Dana, (SK Siol Kanan, Sarawak) memilih persembahan tradisional ‘Aluk-aluk’, Seri Melati (SK Seri Melati, Johor) pula membawakan tarian kreasi ‘Chandramukhi’, Sri Tunas Petra (Sk En Buyong, Sarawak) mempersembahkan ‘Ulek Nugal’. Tunas Pancawarna (Sk Tarcisian Convent, Perak) mempersembahkan ‘Joghe Perak’ sementara Ekatari (Sk Precint 9, Putrajaya) pula dengan ‘Joget Kereta Kuda’.

Persembahan selingan pula menampilkan Alam, Wakaka Crew dan Mohd Hanafi Rosdi (Juara Pencarian Koreografi - MyEkspresi tahun 2013) berentap mempamerkan gabungan tarian joget dan moden. Sementara itu, Zahir pula akan berkolaborasi dengan kumpulan Viral menerusi segmen artis jemputan.

Musim ini memperkenalkan kaedah berbeza apabila penggunaan media baharu mendominasi penyertaan dengan pemilihan dilakukan menerusi penghantaran video yang dimuat naik ke ‘fanpage’ Lantai Cilik.

Kaedah ini diguna pakai sebagai sandaran dan berjaya memendekkan tempoh rakaman di samping menggalakkan setiap guru dan jurulatih melakukan dokumentasi tarian masing-masing serta menjimatkan kos penerbitan.

Penerbit Lantai Cilik, Sarena Mohd Salleh berkata, segala urusan lancar meskipun peserta tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih.

“Kami hanya merakamkan satu episod setiap Sabtu. Bagaimanapun, mungkin ada minggu tertentu kami kena rakamkan lebih terutama menjelang UPSR kerana peserta perlu mengulang kaji pelajaran,” katanya.

Juara akan membawa pulang wang tunai RM50,000, tempat kedua RM30,000 dan RM10,000 tempat ketiga. Hadiah sagu hati untuk dua kumpulan berjumlah RM5,000 manakala kostum terbaik akan memenangi RM5,000.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:02 AM