Oleh Hadzlihady Hassan


Georgetown: Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman berjaya merampas dadah bernilai RM2.8 juta dalam serbuan di Pulau Pinang dan Johor, Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dalam serbuan bermula 10.15 malam itu seramai 17 anggota sindiket terbabit ditahan.

Menurutnya, semua mereka berusia 32 hingga 57 tahun kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

"Selain dadah kita juga turut merampas enam pistol serta selaras senapang dan 331 butir peluru.

"Kita juga masih menyiasat sama ada sindiket terbabit turut menjalankan aktiviti penyeludupan senjata api," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 11:25 AM