Pegawai PERHILITAN menunjukkan dua Orang Utan yang diseludup ke negara ini dari Indonesia. FOTO Mohd Jamilul Anbia Md Denin
Pegawai PERHILITAN menunjukkan dua Orang Utan yang diseludup ke negara ini dari Indonesia. FOTO Mohd Jamilul Anbia Md Denin
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menahan empat lelaki yang didapati menyeludup masuk dua ekor Orang Utan berasal daripada Medan, Sumatera, Indonesia, untuk dijual di negara ini pada harga RM20,000 seekor.

Suspek terdiri daripada dua warga tempatan dan dua warga Indonesia itu ditahan pegawai PERHILITAN di sebuah hotel di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor pada 8.30 malam, Jumaat lalu.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa PERHILITAN Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Orang Utan itu disyaki diseludup masuk melalui jalan laut oleh suspek.

Menurutnya, Orang Utan jantan dan betina itu dianggarkan berusia kurang setahun. "Salah seorang suspek warga tempatan berusia 35 tahun dipercayai menggunakan laman sosial bagi tujuan mengiklan dan menjual hidupan liar diseludup.

“Suspek dipercayai berurusan untuk membawa masuk dan menjual Orang Utan itu di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 4:30 PM