MESKIPUN Helmi  boleh makan nasi, dia masih memerlukan susu untuk melengkapkan keperluan nutrien seimbang.
MESKIPUN Helmi boleh makan nasi, dia masih memerlukan susu untuk melengkapkan keperluan nutrien seimbang.
Oleh Siti Salmiah A Hamid


Ketika remaja lain seronok kunjung-me­ngunjungi dan bermaaf-maafan sempena Aidilfitri, Muhammad Helmi Ibrahim, 16, hanya mampu menitis air mata kerana dia tidak berdaya melakukan apa-apa melainkan terlantar di pembaringan.

Anak kelima daripada enam beradik ini dikategorikan Orang Kurang Upaya (OKU) terlantar akibat penyakit palsi serebral (CP) sehingga melumpuhkan pergerakan dan percakapannya.

Ibunya, Fatinah Pin bersama suami, Ibrahim tabah menerima ketentuan Ilahi walaupun mereka diuji sebelum itu apabila anak keempat turut mengalami situasi yang sama.

“Selepas dilahirkan, Helmi mengalami demam kuning yang mencatatkan bacaan tinggi. Derita ketika bayi tidak terhenti di situ saja kerana dia juga dikesan mempunyai jantung berlubang dan ditahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama sebulan.

“Bagi memastikan penyakitnya, doktor melakukan bioksi dengan mengambil tisu hati manakala darahnya dihantar ke Australia dan kali terakhir dihantar ke Karolinska Institutet, Solna di Sweden.

“Ketika Helmi masih bayi dan selepas boleh merangkak, dia mengalami sawan tarik membuatkan seluruh tubuhnya kejang. Penyakit sawan berlaku setiap hari,” katanya.

Helmi pernah tersembam tiba-tiba ketika diserang sawan sehingga wajahnya mengalami luka.

Kini, penyakit sawan yang dihidapnya berkurangan seiring dengan peningkatan usia, tetapi apabila dia mengalami sawan kejang, Fatinah perlu memicit badan anaknya agar perjalanan darah kembali berjalan lancar.

Fatinah mengucapkan syukur kerana segala kos perubatan ditanggung pihak hospital. Jika bergantung pada pendapatan suaminya, sudah pasti mereka tidak mampu membesar dan menyekolahkan anak yang lain sehingga ke peringkat tinggi.

Selain HKL, anaknya itu turut dibawa ke Hospital Selayang untuk menjalani latihan fisioterapi, namun ia dihentikan kerana Helmi mengalami cacar air.

Kanak-kanak CP diketahui tidak mampu bercakap atau menyebut butiran perkataan dengan jelas.

Walaupun Helmi tidak dapat mengungkapkan panggilan ayah, ibu, abah dan emak seperti yang diimpikan oleh semua orang, Fatinah tetap bersikap positif selepas mendengar anaknya menyebut perkataan Lailahaillah.

Helmi mungkin tidak mampu berkata apa-apa, tetapi Fatinah tahu anaknya gembira setiap kali mereka menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Segala-galanya disiapkan dengan begitu sederhana, jauh sekali untuk bermewah-mewah kerana keperluan Helmi berupa susu, lampin pakai buang dan barangan lain perlu diberi perhatian.

‘Selagi hayat dikandung badan’ Fatinah akan terus tabah menjaga anak kesayangannya itu bersama keluarga tercinta.

Hubungi Fatinah di talian 019-6078050 atau 03-61281685 jika orang ramai berminat untuk menghulurkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 3:06 PM