SALAH satu babak dalam Raya Ke Bang.
SALAH satu babak dalam Raya Ke Bang.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Saban tahun menyambut ketibaan Aidilfitri, RTM pasti menyajikan pelbagai program menarik buat penonton.

Tahun ini mereka tampil dengan program istimewa berjudul Seindah Syawal dan Raya Ke Bang di TV2.

Seindah Syawal terbitan Ainsaby On akan ditayangkan Sabtu ini jam 9.30 malam, manakala Raya Ke Bang terbitan Oja Kismilardy, jam 9 malam Ahad ini.

Dihoskan Azrul Zaidi, Sharifah Sakinah dan Aril AF, Seindah Syawal yang berkonsep hiburan menampilkan barisan artis popular seperti Mark Adam, Najwa Latif, NanaSheme, Junainah M Amin, Amelina, W.A.R.I.S, Lah Ahmad, Ajai, Azlan Typewriter, Iris Juara Pujaan, Ezad Lazim, Ogy Ahmad Daud bersama anaknya dan ramai lagi.

Ainsaby berkata, program berdurasi dua jam itu turut menampilkan pelbagai segmen menarik antaranya aktiviti melawat pesakit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bersama penaja menghulurkan sumbangan pakaian dan duit raya kepada pesakit dan kakitangan yang bertugas.

“Saya cuba tampilkan konsep berhibur sambil beramal kerana perlunya ada keseimbangan dalam program hiburan kita. Ini adalah sumbangan kecil yang mampu saya beri,” katanya.

Selain sumbangan ini, Ain turut mengadakan pertandingan melukis kad raya bersama kanak-kanak Tabika Kemas KKA Jalan U-Thant dan penyampaian sumbangan kepada dua buah rumah anak yatim.

Program ini menampilkan lagu hari raya lama dan baru yang popular dalam kalangan peminat. Istimewanya penyanyi Amelina buat pertama kali memperdengarkan lagu terbarunya berjudul Cinta Harus Seksi dalam program itu.

Persembahan artis diiringi band dari Orkestra RTM secara unplugged menjadikan program ini berbeza daripada program lain.

Sementara itu, Raya Ke Bang berkonsep komedi muzikal menampilkan barisan pelakon komedi popular Didie Alias, Angeline Tan, Ebby Yus, Pushpa Narayan, Shiro, Yasin dan Saiful Apek.

Program berdurasi dua jam ini turut menguji kemampuan Imam Muda Asyraf apabila turut diundang berlakon. Ternyata dia berbakat besar apabila lakonannya berjaya membuat penonton ketawa.

Oja berkata, dia melakukan perbincangan rapi dengan barisan pelakonnya sebelum memulakan rakaman.

“Saya memang cerewet dalam hal-hal begini kerana saya meletakkan diri sebagai penonton. Apabila berada di depan TV untuk menyaksikan program sebegini, sudah pasti saya mahu ketawa dan terhibur.

“Justeru pemilihan pelakon, skrip, dan jalan cerita harus kuat. Ternyata percaturan saya memilih barisan pelakon ini tak mengecewakan kerana semuanya memberikan hasil kerja terbaik,” katanya.

Selain persembahan komedi, Hafiz Suip turut diundang sebagai artis undangan bagi menghiburkan penonton di Auditorium Perdana dengan lagu raya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 5:00 AM