Pengikut Syiah Iraq memukul badan mereka dalam satu perarakan sempena sambutan  Asyura di Baghdad, semalam.
Pengikut Syiah Iraq memukul badan mereka dalam satu perarakan sempena sambutan Asyura di Baghdad, semalam.
AFP

Baghdad: Iraq semalam meningkatkan kawalan keselamatannya sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan serangan kumpulan Negara Islam (IS) yang dibimbangi menyasarkan ribuan pengikut Syiah yang mengadakan upacara keagamaan di Karbala.

Golongan itu dilihat sebagai sasaran utama IS yang melancarkan beberapa siri pembunuhan beramai-ramai sejak beberapa hari lalu, mengakibatkan kematian puluhan anggota sebuah kabilah di wilayah Anbar.

Ribuan pengikut Syiah dari dalam dan luar negara dijangka berada di Karbala sempena sambutan hari Asyura, kononnya hari ulang tahun kematian Saidina Hussein, cucu Nabi Muhammad (SAW).

Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dalam letupan bom yang menyasarkan pengikuit Syiah di Baghdad, kelmarin, menyebabkan pasukan keselamatan Iraq diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Pelawat ke Karbala sempena Asyura pernah menjadi sasaran, namun tahun ini dianggap lebih berbahaya selepas IS memperluaskan kuasanya di Iraq sejak Jun lalu.

Pihak berkuasa mengerahkan ribuan anggota keselamatan dan golongan militia Syiah untuk mengawal keselamatan yang turut dilihat menjadi ujian besar terhadap kerajaan baru pimpinan Perdana Menteri Haidar al-Abadi.

Seorang pegawai kanan polis yang enggan dikenali berkata: “Pelan keselamatan kini sudah mula dilaksanakan dan semua anggota keselamatan juga dalam keadaan bersedia.”

Anggota polis turut mengawal kejiranan Syiah di Baghdad selain kawalan ketat diadakan sepanjang perjalanan 100 kilometer dari ibu negara itu ke Karbala.

Sementara itu, jurucakap tentera Leftenan Jeneral Othman al-Ghanimi berkata, lebih 26,000 anggota keselamatan di Karbala, termasuk unit helikopter yang memantau ruang udara serta kawasan gurun dikerah dalam operasi itu.

Polis juga menggunakan trak imbasan x-ray dan anjing pengesan untuk memeriksa kenderaan. Tidak ketinggalan, kira-kira 1,500 polis wanita juga menjalankan pemeriksaan terhadap pengunjung wanita.

Puluhan anggota kabilah Albu Nimr yang berfahaman Sunni dibunuh di Anbar beberapa hari lalu kerana membantu kerajaan Iraq menentang IS.

Jumlah sebenar kematian tidak dapat dipastikan, namun lebih 200 orang dipercayai maut, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Sementara itu, di Kobane, Badan Pemerhati Hak Asasi Syria melaporkan beberapa pertempuran kecil berlaku semalam manakala tentera Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya melakukan empat serangan udara berhampiran bandar itu yang mengenai sebuah konvoi yang menuju ke bandar Minbej - kawasan dikuasai IS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:14 AM