Pekanbaru: Jabatan perisikan dan keselamatan polis Riau mengenal pasti lokasi satu keluarga dari bandar ini yang dilaporkan menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria selepas membuat siasatan secara menyeluruh.

Jurucakap polis Riau, Guntur Aryo Tejo berkata, keluarga itu termasuk pasangan suami isteri yang dikenali sebagai TB dan YB serta anak mereka.

Katanya, Jabatan perisikan dan keselamatan memperoleh bukti keluarga itu menyertai IS selepas memperoleh gambar yang menunjukkan aktiviti mereka di Syria.

“Bukti kami, termasuk perbualan antara TB dan saudaranya di Pekanbaru.

“Dalam perbualan itu, TB memberitahu dia sudah tiba di Syria dan menyertai IS,” katanya.

Katanya, ketika di Syria, pasangan itu sering menghubungi keluarga mereka di Pekanbaru dan polis memperoleh transkrip perbualan mereka.

Laporan risikan mendapati TB berada di Syria sejak 2013 dan enam bulan selepas itu, dia meminta isterinya dan anak mereka datang ke negara itu.

“Wanita itu dan anaknya menaiki penerbangan ke Turki dari Jakarta. Setibanya di negara itu mereka pergi ke Hatai yang bersempadan dengan Syria.

“Di Hatai, dua beranak itu diambil seorang anggota IS yang menunggu untuk membawa mereka ke Syria melalui jalan darat,” katanya.

Guntur enggan mendedahkan alamat TB dan keluarganya di Pekanbaru dan ahli keluarga lain yang sebelum ini menetap di daerah Tampan.

Katanya, polis masih menyiasat jika keluarga itu turut mempromosikan IS di Pekanbaru. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 8:54 AM